Home Buletin Semasa JAPEN PERKASA PATRIOTISME MELALUI PROGRAM PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU DI SEKOLAH

JAPEN PERKASA PATRIOTISME MELALUI PROGRAM PENTARAMA X KELAB MALAYSIAKU DI SEKOLAH

40
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Program Pentarama X Kelab Malaysiaku dilihat sebagai medium berkesan dalam menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md. Nor berkata, program itu dilaksanakan di lapan sekolah terpilih di seluruh Kelantan bagi siri pertama.

Menurutnya, bagi peringkat sekolah rendah, program dikenali sebagai Homecoming melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1, SK Merbau, SK Sultan Ismail 1 dan SK Kubang Kerian.

“Manakala bagi sekolah menengah pula melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, SMK Panji, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Cheng serta Maktab Sultan Ismail.

“Program ini berlangsung selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Pentarama X Kelab Malaysiaku di SMK Panji, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata program berkonsepkan infotainment itu menggabungkan elemen hiburan dan penyampaian maklumat bagi menarik minat pelajar.

“Pendekatan santai ini bertujuan memperkukuh semangat patriotik serta memupuk rasa kasih dan sayang terhadap negara dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Tambah beliau, JaPen turut menyampaikan penerangan mengenai dasar serta inisiatif semasa kerajaan agar pelajar mendapat maklumat yang tepat dan sahih.

“Sekolah merupakan institusi penting bukan sahaja dalam penyampaian ilmu, malah sebagai tempat pembentukan sahsiah, jati diri dan akhlak pelajar.

“Ia sekali gus menjadi platform yang sangat efektif untuk melaksanakan kempen kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Antara pengisian program termasuk nyanyian lagu patriotik, kuiz interaktif menguji minda serta penerangan isu semasa dan dasar kerajaan secara santai.

Mengulas mengenai peranan media sosial, beliau berkata platform itu bukan sahaja menjadi medium komunikasi, malah mampu mempengaruhi corak pemikiran generasi muda.

“Sekiranya maklumat yang diterima tidak disemak, ia boleh membawa kepada penyebaran berita palsu dan fitnah yang memberi kesan negatif kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata JaPen turut melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai penggunaan internet secara berhemah.

“Melalui kempen ini, pelajar didedahkan dengan cara menggunakan kemudahan digital dengan betul agar tidak menjadi mangsa penipuan dalam talian, buli siber atau jenayah siber yang semakin berkembang,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here