Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kebakaran membabitkan hutan, belukar, kebun dan ladang di seluruh negara melonjak kepada 12,938 kes sejak Januari hingga 31 Mac tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ir Ts Ahmad Izram Osman berkata, jumlah itu meliputi 1,047 kes kebakaran hutan, 11,147 kes kebakaran belukar serta 744 kes kebakaran kebun atau ladang.
Menurutnya, sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu, pihaknya merekodkan sebanyak 9,941 kes kebakaran melibatkan hutan, belukar, kebun dan ladang.

“Peningkatan semula jumlah kes pada tahun ini menimbulkan kebimbangan terhadap keberkesanan langkah kawalan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 54 pegawai termasuk anggota bomba menerima APC manakala 32 lagi menerima sijil penghargaan 30 tahun perkhidmatan.
Menurut beliau, kebakaran belukar menyumbang lebih 80 peratus daripada keseluruhan kes, sekali gus menjadikannya isu utama yang memerlukan perhatian serius.

Beliau berkata, bagi kebakaran hutan, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 337 kes, diikuti Kelantan (123 kes), Pulau Pinang (121 kes), Sabah (113 kes) dan Kedah (102 kes).
Bagi kebakaran belukar pula, Kedah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 2,524 kes, diikuti Johor (1,886 kes), Melaka (1,010 kes), Kelantan (937 kes) dan Perak (759 kes).
“Kebakaran kebun atau ladang pula merekodkan Johor paling tinggi iaitu 359 kes, diikuti Selangor (165 kes), Perak (54 kes), Kedah (29 kes) dan Kelantan (25 kes),” katanya.
Beliau berkata, peningkatan kes kebakaran itu dipercayai berpunca daripada keadaan cuaca panas dan kering, pembakaran terbuka yang tidak terkawal serta kurang pemantauan di kawasan berisiko tinggi.
Tambahnya, beberapa langkah dicadangkan termasuk memperketat penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka, meningkatkan rondaan di kawasan berisiko, memperhebat kempen kesedaran awam, menggunakan teknologi dron serta sistem amaran awal, selain memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan.
IMedikel TV






