Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
GUA MUSANG: Palang amaran kenderaan berat di Jalan Taman Wangi, di sini patah dan terbalik akibat dirempuh sebuah lori, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi apabila sebuah lori melanggar palang amaran kenderaan berat di lokasi tersebut.
“Siasatan awal mendapati, kejadian melibatkan seorang lelaki berusia 48 tahun yang memandu lori jenis Isuzu yang tiada muatan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur.
“Ketika sampai di lokasi kemalangan, pemandu lori tersebut terlanggar palang amaran kenderaan berat menyebabkan palang patah dan tiang terbalik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Choon Foo berkata, pengguna jalan raya khususnya pemandu kenderaan berat perlu lebih peka dan mematuhi isyarat lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana mengabaikan isyarat lalu lintas.
Menurutnya, pemandu boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000 selain kompaun RM300 bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan jika disabitkan kesalahan.
IMedikel TV






