Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kerajaan menanggung subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebanyak RM2.2 bilion pada Mac lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peningkatan harga diesel di pasaran dunia itu adalah kesan krisis Asia Barat yang memberi implikasi besar kepada kerajaan.
“Sebagai contoh, pada 26 Februari 2026, harga diesel dunia adalah AS$93 setong berbanding AS$239 setong pada 31 Mac 2026, melibatkan lonjakan harga mencecah 158 peratus.
“Mengikut unjuran berdasarkan trend kenaikan harga diesel semasa, jumlah keperluan peruntukan diesel bagi SKDS berjumlah RM2.2 bilion sebulan berbanding RM3.45 bilion setahun yang dibelanjakan pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 Kepada Pemborong Barangan Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Kelantan, di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat ini di bawah SKDS, sebanyak 33 jenis kenderaan di bawah dua kluster utama membabitkan 10 jenis bagi sektor pengangkutan darat awam dan 23 jenis bagi sektor pengangkutan darat barangan.
“Penyaluran subsidi diesel secara bersasar untuk kedua-dua sektor ini melibatkan penggunaan fleet card.
“Kenderaan-kenderaan yang didaftarkan boleh memanfaatkan subsidi diesel pada kadar RM1.88 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter bagi kenderaan pengangkutan darat barangan,” katanya.
Jelas beliau, sejak pelaksanaan SKDS pada 10 Jun 2024 sehingga 30 Mac tahun ini, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti berkelayakan mendapat kelulusan penyertaan SKDS melibatkan 368,911 kenderaan di seluruh negara.
IMedikel TV






