Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya dijangka melalui ‘pelan dua fasa’ apabila pengendali Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain berpotensi besar mengemudi pasukan senior ke pentas Piala AFF Julai ini.
Manakala ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski bakal kembali mengambil alih untuk misi lebih besar di Piala Asean Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Perancangan itu dilihat sebagai strategi berani kem negara yang mahu memaksimumkan dua kejohanan berbeza dengan pendekatan tersendiri, terutama apabila Piala AFF berlangsung di luar kalendar rasmi FIFA.
Cklamovski mengakui, cadangan untuk memberi peluang kepada Nafuzi bukan sekadar ‘uji bakat’, sebaliknya sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk membina kekuatan pasukan.
“Saya masih belum boleh sahkan sepenuhnya, tetapi ini perancangan awal.
“Kejohanan ini lebih kepada membentuk pasukan dan memberi pendedahan,” katanya.
Situasi berbeza pula menanti di Piala Asean FIFA apabila pengendali dari Australia itu dijangka kembali memimpin skuad utama dengan barisan terbaik negara, memandangkan kejohanan itu berada dalam kalendar antarabangsa.
“Kita akan hantar skuad terbaik untuk Piala Asean FIFA,” jelasnya, memberi bayangan jelas dua pendekatan berbeza akan digunakan.
Langkah itu dijangka membuka ruang kepada Nafuzi untuk ‘naik pangkat’ mengetuai pasukan senior buat pertama kali di pentas serantau, sambil memberi peluang kepada pemain pelapis membuktikan kemampuan.
Pada masa sama, tekanan tetap memuncak ke atas skuad Harimau Malaya yang masih memburu kejuaraan Piala AFF selepas kali terakhir menjulang trofi pada 2010.
Untuk rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos bagi kempen Piala AFF yang dijadual berlangsung dari 24 Julai hingga 26 Ogos depan.
Pada ketika dua kejohanan besar menanti, percaturan ‘dua jurulatih’ itu kini menjadi tumpuan, sama ada ia mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak negara atau sebaliknya. – HMetro Online –
IMedikel TV






