Home Buletin Semasa LEBIH 1,000 PESAWAH TERJEJAS AKIBAT CUACA PANAS – KADA

LEBIH 1,000 PESAWAH TERJEJAS AKIBAT CUACA PANAS – KADA

156
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 1,085 pesawah di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terjejas akibat kemarau dan cuaca panas yang melanda Kelantan.

Pengerusi KADA, Khalid Abdul Samad berkata, sebanyak enam kawasan di negeri ini mengalami kerosakan tanaman padi melibatkan keluasan 3,638 hektar.

“Jumlah keseluruhan tanaman padi di Kelantan di bawah seliaan KADA adalah 25,600 hektar dan kawasan yang terjejas adalah kira-kira 15 peratus.

“Antara enam kawasan terlibat ialah Kota Bharu Utara (KBU), Kota Bharu Selatan (KBS), Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas dan Tumpat,” katanya pada sidang media di Pejabat KADA, Lundang, di sini, semalam.

Menurutnya, pengoperasian Stesen Pam Kemubu 4 sejak bulan lalu dapat membantu pesawah padi terutama ketika paras air Sungai Kelantan berada pada tahap rendah.

Katanya, Stesen Pam Kemubu 4 mempunyai lapan pam air yang mampu beroperasi pada paras minimum satu meter.

“KADA akan sentiasa memantau situasi tersebut dan menyalurkan bantuan yang diperlukan kepada pesawah sekiranya kawasan mereka terlibat dengan kemarau,” katanya.

Sementara itu, seorang pesawah, Mohd Izat Afiq Mohd Yusof, 32, berkata dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000 apabila tanaman padi tanaman miliknya turut tidak membuahkan hasil akibat ketiadaan air.

“Bila keadaan jadi begini, memang kita sebagai pesawah sangat letih dan penat, kami berdepan masalah ini sudah lima musim apabila air tidak sampai ke sawah.

“Kos untuk menggunakan pam air sendiri juga tinggi terutama apabila kos bahan api semakin meningkat,” katanya.

Bagi seorang lagi pesawah, Sidik Ahmad Mohamad Nor, 65, berkata, situasi itu adalah paling mencabar bagi sejak menjadi pesawah di usia 20 tahun.

“Bekalan air ada pada Oktober lalu, selepas itu terhenti sehingga ke hari ini,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here