Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
BACHOK: Usaha lima rakan karib mengusahakan lemang sempena Aidilfitri membuahkan hasil apabila percubaan pertama mereka mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
Pengusaha lemang, Fadli Azmi Mohamed, 37, berkata beliau bersama empat rakannya iaitu Ramzi Budi, 29, Razman Ibrahim, 34, Ahmad Shauqi Fauzi, 26, dan Amiruddin Hisham, 26, mula menghasilkan lemang secara kecil-kecilan.
Menurutnya, percubaan pertama selama tiga hari tiga malam berjaya menghasilkan kira-kira 500 batang lemang yang habis dijual.
“Pada mulanya kami hanya mahu cuba buat untuk makan sendiri kerana rasa bancuhan santan dan beras pulut itu sedap, tetapi kawan-kawan cadangkan supaya dijual kepada orang kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Bakat, baru-baru ini.
Fadli Azmi berkata bagi setiap susunan lemang, mereka mampu memperoleh kira-kira RM1,400 manakala pada malam raya mereka menyasarkan pengeluaran sekitar 100 batang lemang dan dijual dengan harga RM13 hingga RM15.
Beliau yang bekerja di sebuah kilang papan (sawmill) berkata pengalaman itu dimanfaatkan dengan menggunakan lebihan kayu palet yang dihasilkan do tempat kerjanya sebagai bahan bakar untuk memasak lemang.

Katanya, penggunaan kayu tersebut bukan sahaja menjimatkan kos, malah memudahkan proses penyediaan kerana bekalan mudah diperoleh.
Mengulas lanjut, proses membakar lemang mengambil masa antara lima hingga enam jam dan memerlukan pemantauan rapi bagi memastikan lemang masak sekata.
“Api perlu dijaga dengan teliti dan tidak boleh lalai kerana ia akan menjejaskan kualiti lemang,” katanya sambil menambah mereka memulakan pembakaran seawal pagi dan meneruskannya dalam dua sesi sehingga malam.
Fadli berkata antara cabaran utama ialah berdepan dengan keadaan panas ketika membakar lemang selain kesukaran mendapatkan buluh yang sesuai di kawasan hutan Kampung Keruak, di sini.
Beliau berkata santan yang digunakan diproses sendiri bagi memastikan rasa lebih lemak dan berkualiti, selain turut menjual manisan air tuak pada harga RM7 sebotol kecil.
Katanya, mereka bercadang untuk meneruskan perusahaan tersebut pada masa akan datang sekiranya permintaan terus menggalakkan.
IMedikel TV






