KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer popular, Hael Husaini mengakui perlu menyediakan sehingga 30 pasang baju raya bagi memenuhi komitmen kerjaya sepanjang Aidilfitri tahun ini.
Memetik laporan Berita Harian, penyanyi Lagu Raya Untukmu itu berkata, keperluan menyediakan persalinan dalam jumlah banyak bukan sekadar untuk bergaya, sebaliknya tuntutan kerja yang memerlukan penampilan berbeza pada setiap majlis dihadiri.
“Saya terlibat dengan komitmen kerja, jadi memang tidak dinafikan perlu banyak baju.
“Alhamdulillah, saya terima banyak jemputan dan setiap satunya memerlukan persalinan berbeza,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Bersama Hael Husaini anjuran Irama Signature, di IoI City Mall, di sini, baru-baru ini.
Hael yang juga pemenang trofi Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37, Disember lalu, berkata dia turut mengikuti trend busana raya tahun ini.
Menurutnya, antara warna pilihan adalah tema ‘matcha strawberry’ yang akan digayakan pada hari kedua Syawal.
Berkongsi persiapan Aidilfitri, Hael berkata, dia masih mengekalkan tradisi pulang ke kampung halaman di Sri Menanti, Negeri Sembilan.
“Setiap tahun saya akan buat persiapan awal dan pulang ke Negeri Sembilan.
“Biasanya saya akan luangkan masa secukupnya bersama keluarga sebelum kembali bekerja,” katanya.
Ditanya mengenai juadah wajib, Hael berkata, rendang maman menjadi menu kegemarannya setiap kali pagi Syawal.
Tahun ini, Hael turut menghasilkan empat lagu raya, termasuk karya beremosi Senyum Gugur Di Penghujung Doa yang dinyanyikan Dayang Nurfaizah.
Mengulas isu lambakan lagu raya termasuk daripada pempengaruh, Hael memilih untuk melihat perkembangan itu dari sudut positif.
“Saya rasa setiap tahun memang banyak lagu, cuma tahun ini mungkin lebih mendapat perhatian.
“Bagi saya, setiap karya adalah hasil titik peluh. Kita raikan sahaja.
“Kalau ada yang tidak kena dengan cita rasa, tidak mengapa, masih banyak pilihan lagu raya lain,” katanya.
Tambahnya, kemeriahan lagu raya menjadi antara keistimewaan sambutan Aidilfitri di Malaysia berbanding negara lain.
Hael berkata, soal kualiti karya bukan isu besar kerana pendengar sendiri mampu menilai dan memilih lagu yang sesuai dengan cita rasa masing-masing.
“Ini rezeki masing-masing. Saya tidak mahu menyekat usaha sesiapa,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






