JERMAN: Juara dunia empat kali Formula Satu (F1), Max Verstappen, bakal menyahut cabaran baharu apabila menyertai perlumbaan endurance legenda Nurburgring 24 jam bersama Mercedes-AMG Motorsport tahun ini.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, selepas berbulan-bulan spekulasi, pelumba Belanda itu akhirnya disahkan membuat penampilan sulung pada perlumbaan klasik di Jerman yang berlangsung dari 14 hingga 17 Mei bersama pasukan sokongan kilang Winward Racing, di bawah panji Verstappen Racing.
Verstappen akan bergandingan dalam jentera Mercedes-AMG GT3 bersama pemandu kilang Lucas Auer dan Jules Gounon, serta pelumba baharu projek Genesis Hypercar, Daniel Juncadella.
Auer, Gounon dan Juncadella memiliki pengalaman luas di litar Nurburgring Nordschleife, manakala Gounon dan Juncadella juga bergandingan sebagai rakan sepasukan bagi 2Seas Motorsport dalam saingan GT World Challenge Europe.
Keempat-empat pelumba itu dijadual menjalani perlumbaan persiapan dalam saingan NLS2 bulan ini yang diawalkan seminggu kepada 21 Mac atas permintaan Mercedes bagi membolehkan Verstappen turut serta.
Perlumbaan itu pada asalnya dijadual berlangsung pada 28 Mac namun tarikh berkenaan bertembung dengan Grand Prix Jepun di Litar Suzuka.
Verstappen sebelum ini menyatakan hasrat untuk sekurang-kurangnya beraksi dalam satu perlumbaan awal saingan Nurburgring Langstrecken-Serie bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia menghadapi perlumbaan endurance 24 jam itu.
Penampilan terdahulu Verstappen di Nurburgring Nordschleife adalah pada pusingan kedua terakhir musim lalu pada November dengan memandu Ferrari 296 GT3 milik Emil Frey Racing, bukannya jentera Mercedes yang bakal digunakan tahun ini.
“Nurburgring adalah tempat yang sangat istimewa. Tiada litar lain seperti ini.
“Perlumbaan Nurburgring 24 Hours sudah lama berada dalam senarai impian saya dan saya sangat teruja kerana akhirnya dapat merealisasikannya.
“Tahun lalu saya berjaya mendapatkan permit DMSB Nordschleife dan menyertai perlumbaan NLS9 yang kami menangi.
“Persiapan itu sangat penting kerana kami belajar banyak perkara yang boleh digunakan dalam program musim ini bersama NLS2 dan perlumbaan 24 jam. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






