Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR PUTEH: Seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Kijang, di sini, awal pagi Jumaat lalu.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang disyaki bertindak sebagai ‘transporter’ darat bagi membantu pergerakan kumpulan terbabit.
“Bertindak atas hasil maklumat risikan sekitar jam 5.45 pagi semasa bot Maritim Malaysia melakukan rondaan di sekitar perairan Sungai Kelantan sempena Op Naga, Op Damai, Op Tiris dan Op Khas Pagar Laut, pasukan tersebut telah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan gelap dan mencurigakan di kawasan sungai tersebut pada jarak 0.7 batu nautika dari kedudukan bot operasi.
“Bot rondaan APMM cuba mengejar bot tersebut namun tidak berjaya merapat berikutan keadaan persekitaran yang gelap serta laluan sungai yang sempit dan cetek,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, pada masa sama pasukan operasi darat dikerahkan ke kawasan tebing sungai Kampung Kijang bagi memintas pergerakan suspek.
“Bagaimanapun, menyedari kehadiran pasukan operasi darat, bot laju itu memecut keluar menuju ke laluan sungai yang lebih sempit menyebabkan bot rondaan tidak dapat meneruskan pengejaran atas faktor keselamatan dan keadaan geografi kawasan,” katanya.
Beliau berkata, sekitar jam 5.57 pagi, pasukan operasi darat meneruskan pencarian di kawasan berhampiran sebelum berjaya menahan 16 individu disyaki warga Myanmar di sekitar tebing sungai berkenaan.
“Kami turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai transporter darat untuk membantu membawa atau memindahkan PATI tersebut,” katanya.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan berusia antara 16 hingga 51 tahun termasuk lima wanita.
“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan PATI ini dipercayai cuba keluar dari Malaysia untuk pulang ke negara asal atau ke negara jiran menggunakan bot laju secara haram,” katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Kelantan bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran dan berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah,”katanya.
Kamal berkata, APMM Kelantan akan terus memperkukuhkan rondaan serta operasi pengawasan bagi memastikan keselamatan perairan negara selain membanteras jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan migran.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di perairan negara.
IMedikel TV






