Home Buletin Semasa NAIK TARAF MyNIISe, BEBERAPA PERKHIDMATAN DIGITAL DIJANGKA TERGANGGU

NAIK TARAF MyNIISe, BEBERAPA PERKHIDMATAN DIGITAL DIJANGKA TERGANGGU

165
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf serta migrasi data bagi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe), bermula 9 hingga 15 Mac ini.

Menurut kenyataan media KDN, proses berkenaan akan dijalankan setiap hari dari jam 8 malam hingga 4 pagi sepanjang tempoh tersebut, sekali gus berkemungkinan menyebabkan gangguan capaian sementara terhadap beberapa perkhidmatan digital yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagaimanapun, KDN memaklumkan beberapa langkah telah disediakan bagi memastikan orang ramai tidak menghadapi kesulitan sepanjang tempoh penyelenggaraan sistem berkenaan.

“Antaranya pengaktifan prosedur manual serta sistem sokongan sementara di pintu masuk antarabangsa bagi memastikan pergerakan keluar masuk ke negara kekal lancar tanpa menjejaskan keselamatan negara.

“Selain itu, maklumat terkini mengenai status sistem akan disalurkan melalui laman web rasmi dan media sosial KDN, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memudahkan orang ramai merancang perjalanan,”menurut kenyataan semalam.

KDN turut menyediakan saluran bantuan kepada pengguna yang memerlukan maklumat lanjut dengan menghubungi talian rasmi JIM atau hadir ke pejabat imigresen berhampiran.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan merancang urusan berkaitan imigresen lebih awal serta mengelakkan sebarang transaksi dalam talian sepanjang tempoh penyelenggaraan sistem dijalankan,”menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keselamatan data serta meningkatkan kecekapan sistem bagi memastikan perkhidmatan imigresen yang lebih stabil, cekap dan mesra pengguna.

KDN memberi jaminan pemantauan rapi akan dilaksanakan bagi memastikan sistem baharu itu dapat kembali beroperasi sepenuhnya dalam kadar segera selepas kerja-kerja naik taraf selesai.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here