Home Buletin Semasa 37 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI DI DEMAK, LUNDU

37 WARGA ASING DITAHAN DALAM OPERASI DI DEMAK, LUNDU

173
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUCHING: Seramai 37 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuching di sekitar kawasan Demak dan Lundu pada Selasa dan Rabu lalu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi hantaran di Facebook rasmi, operasi berkenaan membabitkan kekuatan seramai 33 pegawai imigresen dan tertumpu di beberapa lokasi yang dikenal pasti menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Antara lokasi yang diperiksa termasuk beberapa kilang yang disyaki menggaji pekerja asing tanpa pas atau permit kerja yang sah, selain premis menjual makanan dan minuman di kawasan Demak yang dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial.

“Operasi turut diteruskan pada waktu malam dengan serbuan ke atas rumah penempatan pekerja di kawasan kebun durian dan kebun kelapa sawit di Rambungan, Lundu,”menurut kenyataan itu pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, kedudukan penempatan pekerja yang berada di kawasan pedalaman selain laluan masuk yang berbukit tinggi dan berbatu menjadikan operasi berkenaan lebih mencabar kepada pasukan penguat kuasa.

“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa,”jelas kenyataan itu.

JIM dalam pada itu menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras penyalahgunaan pas serta majikan yang menggaji warga asing tanpa kebenaran yang sah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here