TANJONG MALIM:Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi medan terbaik untuk menyemarakkan budaya ilmu dan memperkukuh pembudayaan membaca dalam kalangan warga universiti, sekali gus menyuburkan tradisi keilmuan yang menjadi nadi kecemerlangan kampus.
Justeru, Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Perpustakaan Tengku Bainun (PTB) menganjurkan Program Telaah Imarah Ramadan sempena Perhimpunan Bulanan Edisi Mac 2026.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran majlis itu bukan sekadar rutin bulanan, sebaliknya sarat dengan pengisian rohani dan intelektual menerusi tema “Telaah Imarah Ramadan”.
“Ramadan wajar dimaknai bukan sahaja sebagai bulan berpuasa, malah sebagai bulan penyubur rohani, pengayaan ilmu dan pemerkasaan budaya membaca dalam kalangan warga kampus.
“‘Telaah’ adalah inisiatif yang digerakkan atas cetusan idea kepimpinan negara untuk membudayakan amalan membaca melalui diskusi ilmiah secara kreatif dan reflektif.
“Ia diperkenalkan sebagai program audio siar bedah buku yang mengajak masyarakat menelusuri pemikiran serta kandungan karya penting secara terbuka dan mendalam,” katanya ketika menyempurnakan program berkenaan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Beliau berkata program itu dilancarkan Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 sebagai platform dialog ilmu mingguan yang meletakkan buku sebagai medium transformasi pemikiran dan pemupukan budaya intelek.
Dr. Md Amin berkata di peringkat universiti, inisiatif Telaah@UPSI membawa semangat tersebut ke kampus melalui sesi pembacaan, dialog dan diskusi buku antara warga akademik, pelajar serta komuniti, sekali gus mewujudkan suasana intelektual yang terbuka dan bermakna.
“Melalui kegiatan membaca dan diskusi ilmu, kita menggabungkan ibadah dengan pengetahuan, menjadikan Ramadan sebagai medan meningkatkan kesedaran, pemikiran reflektif dan aplikasi nilai dalam kehidupan seharian.
“Majlis itu turut diserikan dengan sesi dialog ilmiah menampilkan penceramah jemputan iaitu Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Gunawan Che Ab Aziz yang membawakan perspektif integriti dan tadabbur nilai dalam kehidupan profesional serta sosial,”jelasnya.
Turut menjadi panel ialah Pendakwah dan Motivator, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki yang menyentuh dimensi rohani, motivasi serta pengamalan nilai Islam dalam konteks kehidupan harian, manakala sesi dikendalikan oleh Ustaz Mohd Hasbi Abdul Rahman dari Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.
Pada program yang sama turut diadakan sesi penyampaian anugerah peminjam buku terbanyak 2025 PTB sebagai pengiktirafan kepada warga universiti yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap budaya membaca.