Home Buletin Semasa OPS BONGKAR JAS: 72 KONTENA DIKESAN BAWA BUANGAN TERJADUAL, 47 E-WASTE

OPS BONGKAR JAS: 72 KONTENA DIKESAN BAWA BUANGAN TERJADUAL, 47 E-WASTE

96
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Sebanyak 99 kontena diperiksa dalam tempoh dua hari pelaksanaan Operasi Bongkar Kontena Siri 1/2026 di Pelabuhan Klang, dengan 72 daripadanya dikesan mengandungi buangan terjadual termasuk 47 kontena berisi sisa elektronik (e-waste).

Operasi khas yang digerakkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) itu bermula Selasa lalu susulan lawatan kerja Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup ke pelabuhan berkenaan pada 28 Februari lalu bagi meninjau status penahanan kontena sisa elektronik.

“Sebanyak 45 kontena diperiksa hari pertama, daripada jumlah itu, 40 kontena didapati mengandungi buangan terjadual, dengan 22 kontena dikenal pasti sebagai sisa elektronik.

“Manakala pemeriksaan pada hari kedua pula membabitkan 54 kontena, dengan 32 daripadanya dikesan membawa buangan terjadual termasuk 25 kontena berisi e-waste,”menurut kenyataan itu semalam.

JAS dalam kenyataan memaklumkan kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan pengimportan buangan terjadual.

“Tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan pengeluaran notis pemulangan semula kontena ke negara asal.

“Kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Selain itu, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 43 akta sama terhadap ejen atau syarikat perkapalan yang gagal mematuhi prosedur pengimportan ditetapkan,”jelas kenyataan itu.

Operasi itu membabitkan pegawai dari Ibu Pejabat JAS, JAS Negeri Selangor, JAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan JAS Negeri Sembilan bagi memastikan pemeriksaan dijalankan secara menyeluruh, teratur serta berintegriti.

Turut menyokong operasi ialah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) serta SIRIM bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara bersepadu.

“Penguatkuasaan berterusan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi alam sekitar serta memastikan Malaysia tidak dijadikan destinasi pelupusan buangan haram,”jelas kenyataan itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencemaran atau pengimportan buangan secara haram boleh menyalurkan aduan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727, e-mel aduan_k@doe.gov.my atau portal e-Aduan JAS.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here