Home Hiburan KARTINA AZIZ TAK SAMBAR SEMUA, PILIH WATAK SESUAI

KARTINA AZIZ TAK SAMBAR SEMUA, PILIH WATAK SESUAI

KUALA LUMPUR: Bintang ‘senior’, Kartina Aziz kini lebih selektif dan berhati-hati dalam memilih watak berikutan persepsi netizen yang cepat menghukum pelakon yang menghidupkan karakter.

Memetik laporan Berita Harian, Kartina atau nama penuh, Kartina Abdul Aziz, 71, berkata pemilihan watak perlulah selari dengan imej diri selain mengambil kira sensitiviti masyarakat sebelum tawaran baharu diterima.

“Sudah tentu saya akan selektif. Kita ikut umur kita. Macam sekarang, takkanlah saya hendak jadi perempuan nakal dan bising. Tidak ada daya hendak bawa sebegitu. Kalau muda sikit mungkin bolehlah lagi nak bawa watak itu.

“Bagi saya, ikut budaya dan norma masyarakat. Saya kena fikir banyak kali sebelum pilih watak sebab netizen sekarang lebih bijaksana dalam menilai,” katanya ditemui pada tayangan filem dan sidang media Amira Amir di sini, baru-baru-baru ini.

Kartina berkata, netizen sering membuat penilaian berdasarkan persepsi sendiri tanpa mengambil kira konteks watak atau jalan cerita.

“Kadang-kadang netizen suka nilai dan cari kesalahan. Mereka bukan fikir kebolehan pelakon dalam membawa sesuatu watak. Mereka tidak fikir yang karakter itu hanyalah pekerjaan pelakon, bukan mencerminkan diri sebenar pelakon terbabit.

“Sekarang saya nampak, mereka seolah-olah berlumba untuk menjadi yang pertama memberi komen atau mengata. Kemudian orang lain pula ikut hentam, sedangkan mereka sendiri tidak tahu keadaan sebenar,” katanya.

Kartina yang terkenal menerusi drama bersiri Rumah Kedai tidak menafikan soal bayaran penting, namun, soal gagal memuaskan hati netizen lebih menakutkan.

Tambahnya, beliau sentiasa berusaha menyampaikan setiap lakonan dengan bertanggungjawab, selain memastikan penonton gembira dengan setiap naskhah dibawa.

“Saya bukan fikir bayaran semata-mata. Namun, tipulah kalau cakap tidak kisah langsung mengenai bayaran. Syarikat produksi mestilah bayar pada harga berpatutan ikut pengalaman dan hasil kerja kita,” katanya.

Kartina berpandangan pelakon perlu bijak menilai komen dan kritikan kerana idak semua ulasan dianggap membina.

“Kita kena pandai bezakan, mana yang boleh ambil pengajaran atau sekadar mengata. Itu penting untuk kesihatan mental pelakon.

“Kalau kita sudah buat kerja sebaik mungkin, insya-Allah semuanya dipermudahkan. Selebihnya, serah kepada Allah. Kita hanya perlu terus berusaha dan bersyukur,” katanya. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here