Home Hiburan ADIRA SELAMI ERTI REDA DALAM LAGU PENUH EMOSI

ADIRA SELAMI ERTI REDA DALAM LAGU PENUH EMOSI

171
0

Penyanyi yang mendapat julukan Ratu OST (runut bunyi), Adira Suhaimi kini hadir dengan buah tangan terbaharu, berjudul Sayang Orang Sama.

Memetik laporan Harian Metro, diterbitkan Nova Music Malaysia, karya yang mengangkat pengalaman dan kematangan emosi seorang wanita ini adalah hasil kolaborasi komposer, Mas Dewangga dan Jova Devito, manakala liriknya digarap bersama Datuk Arisz Abdul Rahman JP.

Berkongsi lanjut mengenai Sayang Orang Sama, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi berkata, karya ini adalah refleksi mengenai keikhlasan dan keberanian untuk menerima realiti.

“Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia bukan mengenai siapa yang betul atau salah, tetapi perasaan apabila kita menyayangi seseorang dan akhirnya sedar bahawa kasih itu tidak sepenuhnya milik kita,” katanya.

Bercerita mengenai proses rakaman, ia membuka ruang untuk Adira menyelami emosi dengan lebih mendalam.

“Semasa merakamkan lagu ini, saya banyak berfikir soal penerimaan dan reda. Tidak semua cinta perlu dimiliki sepenuhnya, dan tidak semua perasaan perlu berakhir dengan penyesalan. Ada masanya kita belajar untuk melepaskan dengan tenang,” katanya.

Tambahnya, Sayang Orang Sama juga hadir bersama lirik yang menggambarkan realiti kehidupan, memaparkan sisi individu yang berdiam diri dan memendam rasa demi menjaga hati orang lain.

“Kadang-kadang, kita terlalu sayang tetapi dalam masa yang sama kita perlu berkongsi perasaan itu. Lagu ini adalah suara kepada mereka yang kuat di luar, tetapi rapuh di dalam. Ia mengenai menerima hakikat tanpa membenci.

“Jika lagu ini mampu membuatkan seseorang rasa difahami dan tidak keseorangan, itu sudah cukup bermakna buat saya.

“Saya harap Sayang Orang Sama boleh menjadi ruang untuk pendengar bernafas, merenung dan akhirnya berdamai dengan perasaan sendiri,” katanya.

Sayang Orang Sama menjadi lagu OST drama bersiri 30 episod, Khianat Yang Terpilih, yang bersiaran di slot Akasia TV3. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here