Home Buletin Semasa PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL PUTUS KAKI DIREMPUH KERETA CUBA MEMOTONG

PELAJAR KOLEJ VOKASIONAL PUTUS KAKI DIREMPUH KERETA CUBA MEMOTONG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang pelajar lelaki cedera parah selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta yang dipercayai cuba memotong kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Batu Balai–Chuchoh Puteri (Kampung Bechah Salak), dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superitendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan itu pada jam 11.05 pagi semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 malam Sabtu lalu, membabitkan sebuah kereta dari arah Batu Balai menghala ke Kampung Mengkebang dan sebuah motosikal dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa berusia 19 tahun yang juga pelajar Kolej Vokasional Kuala Krai mengalami kecederaan parah termasuk putus kaki kanan dan dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Mazlan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang memotong kenderaan lain sehingga memasuki laluan bertentangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan,”katanya.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati terutama ketika melalui jalan gelap yang tidak mempunyai lampu jalan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Muhamad Narmizi Abdul Rahman di talian 09-9666222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here