Home Buletin Semasa VESEL NELAYAN DITAHAN DISYAKI GUNA KRU ASING PLKS TAMAT TEMPOH

VESEL NELAYAN DITAHAN DISYAKI GUNA KRU ASING PLKS TAMAT TEMPOH

96
0

Oleh: nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C yang dipercayai melanggar syarat sah lesen dalam operasi penguatkuasaan di perairan berhampiran Pulau Perhentian Besar, pada Jumaat.

Pengarah APMMKelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, vesel tersebut dikesan menggunakan peralatan menangkap ikan jenis pukat jerut dan diawaki 18 kru membabitkan lapan warga tempatan termasuk tekong serta 10 warga Thailand.

“Hasil pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji kru asing yang memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah tamat tempoh.

“Selain itu, vesel terbabit turut disyaki melanggar Akta Perikanan 1985 apabila dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan di bawah 12 batu nautika dari daratan, sekali gus melanggar syarat lesen bagi vesel Kelas C,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan lanjut, manakala vesel bersama peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Negeri Kelantan dan diserahkan kepada unit siasatan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, tindakan tegas itu membuktikan komitmen berterusan Maritim Negeri Kelantan dalam memastikan setiap aktiviti perikanan dijalankan secara sah serta mematuhi undang-undang negara.

“Penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan keselamatan perairan dan kelestarian sumber perikanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pengusaha bot nelayan supaya sentiasa memastikan dokumen kru adalah sah serta mematuhi semua syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang, selain memastikan aktiviti perikanan dijalankan secara bertanggungjawab dan selamat.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here