Home Sukan ARSENAL BERI AMARAN JELAS DALAM PEREBUTAN GELARAN

ARSENAL BERI AMARAN JELAS DALAM PEREBUTAN GELARAN

117
0

LONDON: Mikel Arteta berkata tidak apa yang mungkin lebih membuatkan dia bangga atau gembira selepas Arsenal kembali mendahului lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi kemenangan 4-1 ke atas Tottenham, awal pagi tadi, yang disifatkannya sebagai titik perubahan musim ini.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, kemenangan bergaya itu hadir selepas Arsenal melepaskan kelebihan 2-0 ketika menentang Wolves, Rabu lalu, keputusan yang membuka ruang buat Manchester City menjulang gelaran jika memenangi baki 11 perlawanan musim ini.

“Selepas apa yang berlaku menentang Wolves, ia sangat sukar, tetapi itulah keindahan bola sepak.

“Apabila anda tonton semula, sukar untuk faham bagaimana kami seri perlawanan itu. Anda rasa marah, kecewa dan malu.

“Kami datang daripada pelbagai latar belakang dan negara, tetapi amat menggembirakan melihat bagaimana kami bersatu dan bertanya: bagaimana kami mahu jadikan situasi ini sebagai titik perubahan untuk jadi lebih baik?,” katanya.

Arteta menyifatkan tugasnya lebih daripada sekadar pekerjaan.

“Ia lebih besar daripada kerja. Ini semangat dan tujuan hidup kami. Ia sangat menyakitkan tetapi juga boleh memberi ganjaran besar.”

Pengendali Arsenal itu dilihat lebih tenang menjelang minggu pertama tanpa aksi pertengahan minggu dalam tempoh dua bulan.

“Saya rasa kami sudah tunjukkan siapa kami, tetapi kami perlu buktikan lagi dan lagi.

“Saya tidak mungkin lebih bangga dan gembira dengan apa yang saya lihat, terutama bagaimana kami mengharungi 72 jam terakhir,” katanya.

Arteta turut memuji Eberechi Eze yang menyusuli hatrik dalam derbi di Emirates dengan dua lagi gol.

“Saya nampak dia mahu buktikan sesuatu. Dia kecewa dengan saya kerana tidak menurunkannya dari awal ketika menentang Wolves,” katanya.

Sementara itu, pengurus baharu Tottenham, Igor Tudor mengakui cabaran besar menantinya.

“Saya sangat sedih, tetapi dalam satu sudut ia baik untuk memahami di mana kedudukan kami. Perlawanan ini menunjukkan realiti supaya setiap daripada kami sedar.

“Ubatnya ialah setiap orang perlu cermin diri dan mula mengubah tabiat. Kerja keras satu-satunya jalan,” katanya.

Tudor mengakui Spurs dan Arsenal kini berada pada tahap berbeza.

“Kami ada terlalu banyak masalah ketika ini dan pasukan pada tahap seperti ini tidak akan teragak-agak menghukum anda.

“Kami mahu menekan tinggi tetapi jika lambat bertindak, anda akan ketinggalan. Kami mahu merampas bola tetapi tidak berjaya.

“Kami perlu berada pada tahap fizikal yang membolehkan kami beraksi agresif dan memenangi bola. Malah ketika menguasai bola, kurang keyakinan sangat jelas dalam pasukan,” katanya. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here