Home Buletin Semasa BUANG PETI SUARA AKIBAT KANSER TIROID, PESARA TERPAKSA BERCAKAP GUNA ALAT PEMBESAR...

BUANG PETI SUARA AKIBAT KANSER TIROID, PESARA TERPAKSA BERCAKAP GUNA ALAT PEMBESAR SUARA SEPANJANG HIDUP

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Setiap kali ingin bercakap, Ismail Mamud perlu menekan alat kecil di tangannya bagi menghasilkan suara mekanikal yang menjadi satu-satunya cara untuk berkomunikasi selepas peti suaranya dibuang akibat kanser tiroid tahap empat.

Pesara berusia 68 tahun itu kini bergantung sepenuhnya kepada alat pembesar suara sejak menjalani pembedahan dua tahun lalu, sekali gus mengubah kehidupan hariannya yang sebelum ini gemar berbual dan menyanyi bersama keluarga.

Menurut Ismail, pada awalnya dia tidak berasa sakit, namun menyedari suaranya semakin perlahan selama tiga hingga empat bulan sebelum mendapatkan rawatan.

“Dahulu, kalau nak bercakap saya terpaksa menekan suara kerana bunyi tidak keluar, tetapi sebab tidak sakit saya tangguhkan rawatan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Katanya, pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) mengesahkan sel kanser telah merebak sehingga dia perlu menjalani pembedahan selama 13 jam bagi membuang peti suara.

“Sekarang saya bernafas melalui lubang di leher dan bercakap menggunakan alat pembesar suara yang berharga lebih RM2,000, saya juga cepat mengah bila banyak bercakap dan hanya boleh makan makanan lembut,” katanya.

Dia turut menjalani 30 sesi radioterapi sepanjang rawatan dan mengakui tabiat merokok tegar sejak remaja mungkin menjadi punca penyakit tersebut.

Lebih menyayat hati, Ismail meluahkan perasaan rindu terhadap suaranya yang boleh berbual dan menyanyi dengan orang ramai.

Ismail turut kehilangan dua isterinya akibat kanser sebelum dia juga diserang kanser, namun kehadiran 13 anaknya menjadi kekuatan untuk terus bangkit meskipun kehilangan suara.

Dia yang berasal dari Ketereh, di sini menyifatkan kisahnya sebagai peringatan kepada masyarakat supaya tidak memandang remeh akan tabiat merokok terutama pada golongan muda.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here