Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan bahawa tawaran lesen tanpa ujian yang tular di media sosial adalah satu penipuan.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, tidak wujud istilah lesen memandu tanpa ujian kerana setiap individu wajib melalui prosedur serta ujian yang ditetapkan sebelum layak memperoleh lesen.
“Setiap kali timbul kempen atau promosi seperti ini di media sosial, JPJ akan segera berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjelaskan keadaan sebenar.
“JPJ tidak pernah mengeluarkan lesen tanpa ujian, semua pemohon perlu menjalani proses dan ujian yang sah seperti ditetapkan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, malam tadi.
Menurutnya, setakat ini JPJ belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mangsa, namun pihaknya mengesan kewujudan promosi lesen tanpa ujian yang giat ditawarkan terutama melalui platform TikTok.
“Walaupun tiada laporan diterima, kita percaya ia adalah satu bentuk penipuan yang cuba memperdaya orang ramai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian dan sentiasa mendapatkan maklumat sah melalui saluran rasmi JPJ.
IMedikel TV






