Home Buletin Semasa JBPM KELANTAN SASAR PEMERIKSAAN 700 PREMIS PERKUKUH KESELAMATAN KEBAKARAN

JBPM KELANTAN SASAR PEMERIKSAAN 700 PREMIS PERKUKUH KESELAMATAN KEBAKARAN

247
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

BACHOK: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyasarkan pemeriksaan ke atas 700 premis di seluruh negeri sebagai langkah memperkukuh tahap keselamatan kebakaran.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan berkata, sepanjang tahun lalu pihaknya sudah menjalankan sebanyak 663 pemeriksaan premis, melebihi sasaran ditetapkan iaitu 500 pemeriksaan.

“JBPM terus komited melaksanakan pemeriksaan bagi mengurangkan risiko kebakaran, khususnya di premis tumpuan orang ramai.

“Orang ramai juga perlu peka dan berwaspada terhadap risiko kebakaran serta mengambil langkah berjaga-jaga dalam setiap aktiviti,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan ‘Siap Siaga Raya 2026’ di Bandar Baru Jelawat, di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang.

Farhan Sufyan berkata, sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, sebanyak 177 panggilan kecemasan berkaitan kebakaran direkodkan, dengan 43 peratus melibatkan kebakaran bangunan atau struktur.

“Ketika musim perayaan, aktiviti seperti memasak, penggunaan perkakas elektrik secara berlebihan serta pembakaran mercun dan bunga api boleh meningkatkan risiko kebakaran.

“Hasil siasatan Pasukan Forensik JBPM mendapati punca utama kebakaran struktur dan kenderaan adalah dipercayai akibat nyalaan elektrik, dengan 642 kes direkodkan tahun lalu,” katanya.

Jelasnya, sambutan perayaan dan cuti persekolahan juga meningkatkan kehadiran pengunjung ke kawasan rekreasi air.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu turut meningkatkan risiko kemalangan di kawasan tersebut.

“Sepanjang tahun lalu, jumlah kehilangan nyawa akibat lemas seramai 20 orang berbanding 2024 dengan jumlah kematian lebih tinggi iaitu 23 orang mangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Majlis Keselamatan Aktiviti di Air (MKAA) akan terus mempergiat kempen kesedaran serta meningkatkan rondaan berkala di lokasi panas seperti kolam, tasik, air terjun, jeram, pantai dan sebagainya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here