Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya mengurangkan aktiviti penyeludupan sehingga 95 peratus sejak penutupan pangkalan haram pada Disember tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, isu penyeludupan hanya dapat diselesaikan menerusi pembinaan tembok sempadan dan keselamatan.
“Sejak penutupan pangkalan haram pada Disember tahun lalu, dan kita kuat kuasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) kemasukan serta keluar masuk secara haram berkurangan kira-kira 95 peratus.
“Baki lima peratus itu bukan mudah untuk dihapuskan sepenuhnya selagi kita tidak membina tembok atau pagar keselamatan secara menyeluruh,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Menurutnya, daripada keseluruhan jajaran sempadan sepanjang 136 kilometer dari Pengkalan Kubor hingga ke Jeli, hanya kira-kira 45 hingga 46 kilometer berada di bawah kawalan polis secara langsung.
Katanya, sebanyak 17 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan di sepanjang laluan itu dengan jarak purata kira-kira dua kilometer antara satu sama lain.
“Ruang antara pos itulah yang cuba diambil peluang. Kita kena akui faktor manusia ada waktu anggota letih atau mengantuk dan ketika itulah cubaan dilakukan.
“Namun, secara keseluruhan jumlahnya sudah berkurangan dengan ketara, jadi selagi mana tidak buat tembok dan pagar keselamatan selagi itu susah,”katanya.
Katanya ketiadaan tembok atau pagar keselamatan kekal menyukarkan kawalan sepenuhnya memandangkan pendekatan ketika ini masih bersifat konvensional walaupun dibantu teknologi seperti dron dan kecerdasan buatan (AI).
“Kita boleh kesan pergerakan sejauh satu kilometer dengan dron, tetapi apabila kita tiba di lokasi, mereka sudah melintasi garisan sempadan,” katanya.
IMedikel TV






