Home Buletin Semasa PENDEKATAN RAHMAH KUNCI TAMPILKAN KEINDAHAN ISLAM KEPADA BUKAN ISLAM – MARHAMAH

PENDEKATAN RAHMAH KUNCI TAMPILKAN KEINDAHAN ISLAM KEPADA BUKAN ISLAM – MARHAMAH

110
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pendekatan dakwah berteraskan nilai rahmah dan akhlak mulia perlu diberi keutamaan, khususnya dalam menangani isu penggunaan kalimah berkaitan Islam oleh masyarakat bukan beragama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, berkata umat Islam sendiri harus menjadi contoh terbaik agar keindahan Islam dapat difahami dan dihargai oleh masyarakat bukan Islam.

Menurut beliau, pendekatan kasar, sindiran atau sikap suka menempelak hanya akan memberi gambaran negatif terhadap agama Islam.

“Ini adalah sebahagian daripada cara dakwah kita, iaitu dengan tidak berkasar, tidak menghina dan sentiasa menunjukkan sifat rahmah kepada semua, termasuk bukan Islam.

“Bagaimana orang bukan Islam mahu melihat keindahan Islam jika umat Islam sendiri bersikap kasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penggunaan kalimah Islam seperti Alhamdulillah oleh bukan Islam, pada sidang media selepas merasmikan Program Ihya Ramadan dan Pelancaran Program Pendidikan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (YAATIM) 2026 di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Marhamah berkata Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sudah mengeluarkan penjelasan rasmi atau bayan linnas berkaitan isu tersebut dan orang ramai disaran merujuk kenyataan berkenaan.

“Mufti sudah memberikan penjelasan melalui bayan linnas, jadi saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, penggunaan kalimah Islam oleh sebahagian bukan Islam adalah perkara biasa yang berlaku hasil pergaulan antara budaya dan agama.

Menurut penjelasan itu, dari sudut hukum syarak, penggunaan berkenaan adalah dibenarkan selagi tidak disalahgunakan, tidak bertujuan menghina, mempersendakan atau mempermainkan kesucian agama Islam.

Isu tersebut timbul susulan kenyataan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, yang mempersoalkan tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menggunakan kalimah yang sinonim dengan umat Islam ketika persidangan Dewan Rakyat.

Beliau mendakwa tindakan berkenaan boleh mengelirukan masyarakat bukan Islam dan disifatkan seolah-olah mempermainkan kesucian agama Islam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here