Home Segmen Kesihatan WANITA LEBIH BERISIKO ALAMI SAKIT LUTUT AKIBAT FAKTOR ANATOMI, HORMON DAN GAYA...

WANITA LEBIH BERISIKO ALAMI SAKIT LUTUT AKIBAT FAKTOR ANATOMI, HORMON DAN GAYA HIDUP

410
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Masalah sakit sendi lutut dalam kalangan wanita didapati lebih kerap berlaku berbanding lelaki, dipengaruhi gabungan faktor anatomi, hormon, biomekanik serta gaya hidup.

Pakar Perunding Kanan Ortopedik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Dr Mohd Yusof Ibrahim berkata, sebahagian wanita mengalami kesakitan lutut yang serius sehingga menjejaskan aktiviti harian termasuk berjalan, bekerja dan bersukan.

Menurut beliau, antara faktor utama ialah perbezaan struktur anatomi lutut wanita yang lebih kecil dan tirus berbanding lelaki, menyebabkan tekanan ke atas sendi menjadi lebih tinggi.

“Permukaan sendi lutut wanita lebih kecil, termasuk tempurung lutut (patella) dan lapisan rawan yang lebih nipis. Keadaan ini menyebabkan tekanan antara tulang femur dan tibia dan antara tulang patellar dan tulang femur baash  menjadi lebih kuat ketika pergerakan

“Sendi lutut terbentuk daripada tulang bahagian femur dan tulang bahagian atas tibia yang membolehkan pergerakan lutut berlaku,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada kru IMedikel TV, di HRPZ II, di sini, baru-baru ini bagi membincangkan isu masalah sendi lutut dalam kalangan wanita.

Katanya selain itu tempurung lutut walaupun bersaiz kecil ia memainkan peranan yang amat penting dalam fungsi dan kestabilan sendi lutut.

“Kesemua tulang ini disokong oleh ligamen yang berfungsi menstabilkan sendi lutut termasuk anterior cruciate (ACL), posterior cruciate (PCL), ligamen kolateral medial (MCL) dan ligamen kolateral lateral (MCL).

“Pergerakan sendi lutut turut disokong oleh otot dan tendon, khususnya tendon quadriceps dan tendon patella yang menghubungkan otot paha dengan tulang tibia, selain beberapa tendon lain di sekeliling sendi lutut.

Katanya sendi lutut juga dilindungi oleh dua meniskus iaitu meniskus medial dan meniskus lateral yang berfungsi menyerap hentakan serta menstabilkan pergerakan sendi.

“Disebabkan permukaan sendi lutut wanita lebih kecil dan tirus, tekanan antara tulang femur dan tibia menjadi lebih kuat berbanding lelaki, sekali gus meningkatkan risiko kesakitan dan kecederaan pada lutut,”katanya.

Beliau yang juga Ketua Unit Pembedahan Penggantian Sendi HRPZ II menjelaskan, sudut biomekanik yang dikenali sebagai Q-angle turut memainkan peranan penting.

Wanita secara semula jadi mempunyai pinggul yang lebih lebar, menyebabkan sudut tarikan otot ke arah tempurung lutut menjadi lebih besar.

Beliau menjelaskan, perbezaan sudut pergerakan lutut antara wanita dan lelaki turut mempengaruhi risiko kesakitan sendi.

Menurutnya, susunan tulang dari bahagian paha ke tempurung lutut dan seterusnya ke tulang tibia dalam kalangan wanita membentuk sudut yang lebih besar berbanding lelaki, yang lazimnya hampir lurus.

“Wanita mempunyai pinggul yang lebih lebar, menyebabkan sudut tindakan otot paha ke arah tempurung lutut dan patellar tendon dari tempurung lutut ke tulang tibua menjadi lebih besar.

Sudut ini dikenali sebagai Q-angle dan biasanya sekitar dua hingga tiga darjah lebih tinggi berbanding lelaki,” katanya.

Beliau berkata, sudut yang lebih besar ini menyebabkan pergerakan tempurung lutut cenderung ke arah luar ketika lutut bergerak, sekali gus meningkatkan tekanan antara tempurung lutut dan tulang di bawahnya.

“Tekanan yang tinggi ini adalah antara faktor anatomi dan biomekanik utama yang menyebabkan wanita lebih cenderung mengalami kesakitan pada sendi lutut,”katanya

Pengaruh hormon estrogen

Dr Mohd Yusof berkata, hormon estrogen yang berubah-ubah dalam kitaran haid wanita turut memberi kesan kepada kestabilan sendi lutut.

“Ketika paras estrogen tinggi, ligamen di sekitar lutut menjadi sedìkit longgar, menyebabkan sendi kurang stabil dan mudah cedera, terutamanya ketika melakukan aktiviti fizikal,” katanya

Menurut beliau, estrogen juga berfungsi sebagai agen anti-radang dan membantu proses pembaikan tisu.

Namun, apabila paras hormon itu menurun, khususnya selepas menopaus, wanita lebih berisiko mengalami penyakit sendi seperti osteoartritis dan rheumatoid arthritis.

“Kekurangan estrogen menyebabkan proses pembaikan rawan dan tisu sekitar sendi menjadi perlahan, menjadikan wanita pasca menopaus lebih cenderung mengalami sakit lutut kronik,” jelasnya.

X-ray normal bukan bermakna tiada masalah

Mengulas situasi di mana X-ray lutut menunjukkan keputusan normal walaupun pesakit mengalami kesakitan, beliau menjelaskan kebanyakan kes membabitkan kecederaan tisu lembut seperti ligamen, tendon, meniskus atau keradangan dalam sendi.

“X-ray biasa dilakukan dalam posisi baring, menyebabkan tekanan ke atas lutut tidak kelihatan. Dalam kes tertentu, X-ray berdiri lebih sesuai bagi mengesan masalah penjajaran dan osteoartritis,” katanya.

Faktor pekerjaan dan gaya hidup

Dr Mohd Yusof berkata, aktiviti harian wanita juga menyumbang kepada masalah lutut, termasuk kerja dalam posisi berlutut, mencangkung, berdiri lama, duduk terlalu lama dengan lutut membengkok, serta mengangkat barang berat dalam posisi tidak betul.

“Memakai kasut bertumit tinggi dan bekerja tanpa rehat dalam tempoh lama turut meningkatkan tekanan ke atas sendi lutut. Kasut yang sesuai adalah jenis tapak kasut lembut (soft cushion) yang membantu menyerap beban pada lutut semasa aktiviti harian,” katanya.

Selain itu, berat badan berlebihan juga memberi beban tambahan kepada lutut dan meningkatkan risiko sakit sendi.

Susu bantu kesihatan tulang dan sendi

Dalam pada itu, Dr Mohd Yusof berkata, pengambilan susu secara sederhana boleh membantu mengekalkan kesihatan tulang dan sendi lutut.

“Susu mengandungi protein dan kalsium yang penting untuk pembentukan serta pemulihan tulang, rawan dan tisu di sekitar sendi lutut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan supaya pengambilan susu tidak berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sembelit.

“Pengambilan susu secara sederhana adalah baik, bukan sahaja untuk wanita malah lelaki, bagi menyokong kesihatan tulang dan sendi,” katanya.

Rawatan dan pencegahan

Menurut beliau, kebanyakan kes sakit lutut dalam kalangan wanita boleh dirawat secara konservatif tanpa pembedahan, termasuk rehat, rawatan ais, fisioterapi dan pengubahsuaian aktiviti.

“Pembedahan hanya diperlukan dalam kes tertentu seperti kecederaan ligamen serius, koyakan meniskus atau osteoartritis tahap lanjut,” katanya.

Beliau turut menasihatkan wanita supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami tanda amaran seperti bunyi ‘pop’ ketika kecederaan, bengkak mendadak, ketidakstabilan lutut, sakit berpanjangan atau disertai demam.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here