Home Buletin Semasa PENGANJUR MAKAR FEST XL TAMPIL MOHON MAAF

PENGANJUR MAKAR FEST XL TAMPIL MOHON MAAF

197
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penganjur Makar Fest XL tampil memohon maaf secara terbuka berkenaan isu yang tular di media sosial mengenai persembahan dan tarian penonton konsert, di Tunjung, Sabtu lalu.

Pengarah Festival, Issey Fazlisham, berkata penganjuran program yang berlangsung selama tiga hari itu mengikut garis panduan dan enakmen hiburan yang dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

“Pelbagai inisiatif telah pihak kami buat untuk menjayakan program selama tiga hari itu.

“Antaranya sebelum acara pentas bermula kami ada tayangkan video etika panggung di mana intipati untuk etika panggung atau pentas ini untuk memberi peringatan kepada semua pengunjung yang hadir apa yang boleh dan apa yang tidak boleh anda (penonton) lakukan semasa menonton acara pentas.

“Contohnya berkaitan pengasingan antara lelaki dan wanita, tidak boleh membuang sampah, tidak boleh berjoget, harus tertib dan beradab,”katanya menerusi hantaran video di Tiktok.

Issey  yang juga pengacara majlis pada malam tersebut berkata beliau sentiasa mengingatkan penonton tentang adab dan tertib sepanjang acara berlangsung.

“Pada malam itu saya juga sebagai pengacara setiap kali saya naik saya akan ingatkan kepada semua penonton supaya tidak berjoget dan menjaga adab dan tertib sepanjang acara tersebut,”katanya.

Bagaimanapun menurutnya terdapat segelintir individu yang berada di luar kawalan pihak penganjur dan didapati melakukan pergerakan yang tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Pihak kru dan keselamatan juga pasukan Makar Fest telah bertindak dengan segera sebaik sahaja situasi tersebut dikesan.

“Untuk makluman jumlah kehadiran penonton pada malam itu melebihi jangkaan pihak penganjur.

“Sekali lagi saya mewakili pihak penganjur memohon maaf kepada semua pihak dan pihak penganjur sentiasa terbuka untuk menerima penambahbaikan bagi penanjuran lain yang akan datang,”katanya.

Terdahulu media melaporkan Kerajaan Negeri Kelantan mendapati berlakunya pelanggaran syarat lesen hiburan dan garis panduan yang ditetapkan semasa konsert penutup program Makar Fest XL, di Tunjung, Sabtu lalu.

Susulan pelanggaran itu, wang cagaran penganjur berjumlah RM8,000 telah dirampas. 

Penganjur juga boleh dikenakan penalti maksimum sehingga RM30,000 serta berisiko disenarai hitamkan sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here