Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan terus komited menyokong inisiatif promosi kesihatan pergigian kebangsaan jangka panjang yang menekankan kepentingan penjagaan gigi sepanjang hayat dalam kalangan rakyat, khususnya warga emas.
Pengarah JKN Kelantan, Datuk Dr. Mohd Azman Yacob berkata, Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2022–2030 menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 50 peratus warga emas berumur 60 tahun ke atas memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli.
“Sasaran itu dizahirkan menerusi pelancaran Kempen 6020: Cecah Umur 60, 20 Batang Gigi Sekurang-kurangnya dengan tema “Pelihara Gigi Seawal Usia” oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sempena Program Madani Afiat di Kelantan pada 26 April tahun lalu.
“Bagaimanapun dapatan Kajian Kesihatan Mulut Bagi Orang Dewasa (NOHSA) 2020 mendedahkan realiti membimbangkan apabila hanya 34.3 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas masih memiliki sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli,”katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, keadaan itu diburukkan lagi dengan prevalens penyakit pergigian yang tinggi dalam kalangan orang dewasa, di mana 85.1 peratus menghidap karies gigi manakala 94.5 peratus mengalami masalah gusi. Statistik ini jelas menggambarkan beban penyakit mulut yang kritikal di peringkat nasional,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Mohd Azman menegaskan amalan menggosok gigi secara konsisten adalah kaedah pencegahan yang murah, mudah dan berkesan, justeru sikap tidak cakna terhadap penjagaan kesihatan mulut tidak wajar berlaku, lebih-lebih lagi dalam kalangan warga kesihatan.
“Kami menyeru semua anggota jabatan ini untuk memulakan budaya bekerja dalam keadaan gigi yang sihat. Kesihatan mulut adalah cerminan kepada kesihatan umum, dan perubahan harus bermula dari dalam organisasi ini sendiri.
“Perkhidmatan Pergigian Warga KOSPEN WOW yang diperkenalkan tahun ini menyasarkan seluruh warga JKN Kelantan menerusi kriteria khusus, dengan saringan diwajibkan kepada anggota berumur 40 tahun ke atas, manakala mereka yang berumur bawah 40 tahun amat digalakkan untuk turut serta,”katanya.
Menurutnya, pelaksanaan program itu menggunakan mekanisme saringan secara walk-in, manakala temu janji rawatan susulan akan diberikan kepada peserta yang memerlukan, bermula dengan sesi peluncuran, pada Selasa.
“Sebagai strategi pengukuhan, promosi intensif akan dilaksanakan di semua fasiliti pergigian JKN Kelantan dari Februari hingga Mac depan, dengan jaminan pemberian temu janji rawatan dalam tempoh 14 hari selepas saringan, tertakluk kepada kesesuaian dan kapasiti fasiliti,” katanya.
“Bagi menjamin kelangsungan program, amalan pemeriksaan pergigian secara berkala menerusi inisiatif Pemeriksaan Pergigian Sekurang-kurangnya Setahun Sekali (PEPS1S) perlu diterapkan dalam kalangan semua warga jabatan.
“Inisiatif bertemakan ‘Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi’ ini adalah pendekatan yang mudah, kreatif dan dekat dengan kehidupan seharian, dengan mesej jelas bahawa pemeriksaan pergigian sekurang-kurangnya setahun sekali adalah sama penting seperti mengingati hari kelahiran,” katanya.
IMedikel TV






