Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang pemandu lori treler cedera ringan selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan terbalik di bahu Jalan Kuala Krai–Gua Musang, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.30 pagi melalui Sistem NG999.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), PKPgB Nik Ahmad Afsham Nik Pa dalam kenyataan memaklumkan jentera dari BBP Kuala Krai tiba di lokasi kejadian pada jam 8.08 pagi, kira-kira 64 kilometer dari balai.
“Komander Operasi lapor kemalangan membabitkan sebuah lori treler yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
“Seorang mangsa iaitu pemandu lori mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital menggunakan kenderaan EMRS JBPM untuk rawatan lanjut.
“Operasi menyelamat melibatkan tujuh anggota bomba dengan kekuatan logistik terdiri daripada sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan EMRS,”katanya.
IMedikel TV






