Home Buletin Semasa EMPAT KENDERAAN TERBABIT KEMALANGAN DI JALAN KOTA BHARU–KUALA KRAI

EMPAT KENDERAAN TERBABIT KEMALANGAN DI JALAN KOTA BHARU–KUALA KRAI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MACHANG: Sebuah lori membawa muatan kayu terbabit dengan tiga lagi kenderaan di Kilometer (KM) 35.5 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, berhampiran Masjid Ubudiah, Batu 23, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang pada jam 7.26 pagi selepas sebuah lori dilaporkan menghalang laluan trafik.

“Siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 6.45 pagi membabitkan sebuah lori jenis Isuzu yang membawa muatan kayu dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai dan berada di lorong kanan jalan.

“Pada masa sama, sebuah kereta Perodua Bezza dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu, manakala sebuah lori Mitsubishi yang berada di belakang kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang Perodua Bezza,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan Perodua Bezza bertembung secara depan dengan lori Isuzu, sekali gus mengakibatkan lori tersebut terbalik dan menyeret kereta berkenaan di atas jalan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta Perodua Bezza terbabas dan berpusing sebelum melanggar sebuah motosikal Honda yang datang dari arah Kuala Krai, seterusnya merempuh pagar Masjid Ubudiah di sebelah kiri jalan menghala ke Kota Bharu,” katanya.

Susulan kejadian itu, pemandu Perodua Bezza dan penunggang motosikal Honda dikejarkan ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Rosmida Rasid di talian 019-983 3601 atau Bilik Gerakan IPD Machang di talian 09-975 1222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here