KHARTOUM: Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum semalam menerima penerbangan penumpang komersial pertamanya dalam hampir tiga tahun, menandakan langkah penting ke arah pembukaan semula fasiliti itu dan pemulihan perjalanan udara ke ibu negara Sudan selepas penutupan berpanjangan.
Memetik laporan Xinhua merusi Berita Harian, pesawat yang dikendalikan oleh Sudan Airways dan membawa 160 penumpang itu tiba dari Port Sudan di timur Sudan.
Ketua Pengarah Syarikat Lapangan Terbang Sudan, Al-Khatim Babiker Al-Tayeb, berkata lapangan terbang itu menyambung semula operasi dengan kapasiti yang mencukupi bagi fasa semasa dan mampu mengendalikan sehingga empat pesawat serentak.
Beliau berkata, penyambungan semula penerbangan domestik adalah fasa pertama pelan pembukaan semula secara berperingkat, dengan persiapan teknikal dan pentadbiran sedang dijalankan bagi membolehkan penerbangan serantau serta antarabangsa kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.
Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum mengalami kerosakan teruk akibat konflik berterusan di Sudan.
Fasiliti itu antara lokasi terawal diserang oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) ketika pertempuran tercetus pada 2023.
Pihak berkuasa berusaha memulihkan operasi lapangan terbang itu selepas Angkatan Tentera Sudan (SAF) memperoleh semula kawalan penuh ke atas Khartoum pada Mei tahun lalu.
Buat masa ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Port Sudan kekal sebagai satu-satunya hab penerbangan antarabangsa negara itu, manakala beberapa lapangan terbang domestik lain beroperasi secara terhad.
Sejak pertengahan April 2023, pertempuran antara SAF dan RSF telah mengorbankan puluhan ribu nyawa serta menyebabkan jutaan orang menjadi pelarian, sama ada di dalam atau di luar Sudan. – BERNAMA-XINHUA, BH Online –
IMedikel TV






