Home Buletin Semasa KPDN PANTAU 9 STESEN MINYAK DI SEMPADAN KELANTAN CATAT JUALAN TINGGI

KPDN PANTAU 9 STESEN MINYAK DI SEMPADAN KELANTAN CATAT JUALAN TINGGI

245
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenal pasti sembilan stesen minyak di sempadan negeri ini yang mencatat jualan tinggi.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, stesen minyak berkenaan termasuk di empat daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli.

“Sekurang-kurangnya sembilan stesen minyak di negeri ini dikenal pasti mencatatkan jualan tinggi dan dipercayai terdedah kepada aktiviti penyelewengan petrol dan diesel.

Bagi mengekang perkara berkenaan, KPDN melaksanakan pemantauan harian berdasarkan analisis data dan graf jualan sebelum menempatkan pegawai penguat kuasa secara statik di stesen minyak berkenaan.

“Pegawai akan ditempatkan di stesen minyak berkenaan bagi memastikan sama ada jualan yang direkodkan benar-benar sah atau sebaliknya, memandangkan ia melibatkan subsidi kerajaan yang tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja di sempadan di sini, hari ini.

Jelasnya penempatan pegawai secara statik menunjukkan kesan ketara apabila berlaku penurunan mendadak jumlah jualan selepas pemantauan dilaksanakan.

“Situasi ini menimbulkan syak bahawa sebelum ini wujud kegiatan penyelewengan sama ada membabitkan pihak stesen sendiri atau dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab melalui kaedah tertentu seperti pembelian berulang,” katanya.

Beliau berkata sekiranya siasatan mendapati berlaku unsur penyelewengan, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan lesen.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here