Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas sebuah kereta jenis Proton Wira terbabas dan melanggar penghadang jalan berhampiran kedai makan Bakso Ngosik, Salor, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu kenderaan dipandu seorang lelaki berusia lingkungan 30-an bersama seorang penumpang lelaki berusia 20-an dalam perjalanan dari Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu dipercayai bergerak lurus di laluannya sebelum secara tiba-tiba hilang kawalan, lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan di bahu kiri.
“Akibat kemalangan itu pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala penumpang cedera di bahagian badan. Pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira jam 1.30 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Sharif Mohd Ridhuan Sharif Hassan di talian 09-775 2315.
Dalam pada itu, polis turut menggesa pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta mematuhi undang-undang dan isyarat lalu lintas yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
IMedikel TV






