BEIJING: Satu letupan di sebuah kilang keluli di utara China membunuh dua orang dan mencederakan 66 orang pada Ahad, dengan lima lagi masih hilang, kata media kerajaan.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, letupan itu berlaku kira-kira 3 petang waktu tempatan (0700 GMT) di kilang plat Baogang United Steel di bandar Baotou di wilayah autonomi Mongolia Dalam, lapor agensi berita kerajaan Xinhua.
“Setakat 5.30 petang Ahad, pihak berkuasa pengurusan kecemasan dan penyelamat kebakaran tempatan melaporkan dua kematian dan lima orang hilang,” kata Xinhua.
“Enam puluh enam individu dihantar ke hospital untuk rawatan, tiga daripadanya berada dalam keadaan teruk.”
Rakaman di media sosial menunjukkan siling dan runtuhan di kilang itu runtuh, kepulan asap besar di atas kepala dan jentera bomba di tempat kejadian.
Video lain menunjukkan objek diletupkan ke langit ketika kepulan asap dari kilang dan bongkah logam silinder besar yang nampaknya berasal dari kilang itu dilihat di antara runtuhan bangunan.
Penduduk di kawasan beberapa kilometer jauhnya melaporkan bahawa letupan itu menggegarkan rumah mereka dan memecahkan tingkap.
Punca kejadian sedang disiasat, kata Xinhua, sementara operasi menyelamat diteruskan. – AFP, HMetro Online –
IMedikel TV






