Home Buletin Semasa NILAI RAMPASAN DADAH KELANTAN MENURUN 60 PERATUS

NILAI RAMPASAN DADAH KELANTAN MENURUN 60 PERATUS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Nilai rampasan dadah di Kelantan merekodkan penurunan ketara sebanyak 60 peratus sepanjang tahun 2025.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, nilai rampasan narkotik menurun daripada kira-kira RM73.52 juta pada 2024 kepada RM29.56 juta pada 2025.

“Dalam konteks pembanterasan dadah, impaknya lebih ketara apabila nilai keseluruhan rampasan dadah menurun sebanyak 60 peratus, daripada RM73.52 juta pada tahun 2024 kepada RM29.56 juta pada tahun 2025.

“Berdasarkan analisis prestasi keseluruhan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, PDRM Kontinjen Kelantan merekodkan sebanyak 27,339 kes dengan 28,807 tangkapan.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, jumlah kes mencatatkan penurunan sebanyak 650 kes, daripada 27,989 kes pada tahun 2024 kepada 27,339 kes pada tahun 2025, iaitu penurunan dua peratus. Jumlah tangkapan juga menurun daripada 29,800 tangkapan kepada 28,807 tangkapan, iaitu pengurangan sebanyak 993 tangkapan atau dua peratus,”katanya pada sidang media pada Ahad.

Menurutnya, penurunan itu adalah hasil operasi bersepadu termasuk penutupan pangkalan haram dan laluan tikus di sepanjang sempadan Malaysia–Thailand.

“Penurunan signifikan ini menjadi petunjuk jelas bahawa saluran penyeludupan utama telah berjaya diganggu dan rantaian bekalan dadah diputuskan lebih awal.

“Prestasi ini, khususnya dalam pembanterasan dadah, bukan berlaku secara kebetulan. Ini adalah hasil tindakan tegas saya dengan mengisytiharkan penutupan pangkalan-pangkalan haram di sepanjang sempadan Malaysia – Thailand pada 1 Disember 2024 yang lalu.

“Tindakan ini kemudiannya diperkukuh dengan pengisytiharan “JIHAD DADAH”, sebagai pendekatan menyeluruh dan tanpa kompromi dalam memerangi ancaman dadah di negeri Kelantan,”katanya.

Melalui penguatkuasaan agresif dan risikan berfokus, sekali gus memutuskan rantaian bekalan,  mengecilkan ruang gerak sindiket dan menutup pintu kemasukan dadah ke negeri ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here