Home Buletin Semasa INDEKS JENAYAH KELANTAN TURUN 19.5 PERATUS PADA 2025

INDEKS JENAYAH KELANTAN TURUN 19.5 PERATUS PADA 2025

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kadar jenayah indeks di Kelantan merekodkan penurunan sebanyak 19.5 peratus sepanjang tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah keseluruhan kes jenayah indeks menurun daripada 2,296 kes pada 2024 kepada 1,848 kes pada 2025, membabitkan pengurangan sebanyak 448 kes.

Menurutnya, penurunan itu didorong terutamanya oleh pengurangan ketara kes jenayah harta benda yang sering menimbulkan kegusaran masyarakat.

“Jenayah harta benda mencatatkan penurunan sebanyak 24.3 peratus, iaitu daripada 1,873 kes pada 2024 kepada 1,418 kes pada tahun 2025,” katanya.

“Kes kecurian turut menurun sebanyak 11.6 peratus iaitu daripada 732 kes kepada 647 kes, pengurangan sebanyak 95 peratus,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, pada Ahad.

Jelasnya untuk kes pecah rumah juga menunjukkan penurunan paling signifikan.

“Kes pecah rumah menurun secara drastik sebanyak 39.7 peratus, daripada 728 kes pada 2024 kepada 439 kes pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak 289 kes,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau trend jenayah kekerasan perlu diberi perhatian serius dan ditangani secara lebih strategik. 

Katanya bagi tempoh tahun 2025, jumlah kes jenayah kekerasan mencatatkan peningkatan tetapi signifikan daripada 423 kes pada tahun 2024 kepada 430 kes (2025), iaitu pertambahan tujuh kes atau 1.7 peratus.

“Dari segi perincian, kes bunuh menunjukkan peningkatan daripada empat kes (2024) kepada tujuh kes (2025), bersamaan kenaikan 75 peratus, manakala kes rogol mencatatkan penurunan daripada 157 kes kepada 144 kes, iaitu pengurangan 8.3 peratus.

“Kes samun berkawan tanpa senjata api meningkat daripada 54 kes kepada 55 kes atau 1.9 peratus, sementara kes samun tanpa senjata api menunjukkan peningkatan lebih ketara daripada 48 kes kepada 60 kes, iaitu 25 peratus.

“Bagaimanapun kejayaan telah dicapai apabila kes samun berkawan bersenjata api dan samun bersenjata api berjaya diturunkan sepenuhnya, masing-masing mencatatkan penurunan 100 peratus,”katanya.

Jelasnya kes mencederakan turut meningkat daripada 157 kes kepada 164 kes, bersamaan 4.5 peratus. 

Secara keseluruhan, pencapaian perlu diteruskan dan kelemahan mesti diperbaiki demi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara dan keyakinan masyarakat terhadap PDRM Kontinjen Kelantan terus kukuh

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here