PUTRAJAYA: Pelakon Hannah Delisha, 29, menafikan rumah tangganya bersama suami, Imam Shah sedang bergolak seperti dakwaan netizen.
Memetik laporan Harian Metro, Hannah atau nama sebenar, Hannah Adlina Blackburne Birch berkata, dia percaya kekeliruan berhubung tempahan bilik hotel menyebabkan ada pengikutnya membuat spekulasi berkaitan rumah tangganya.
“Sebenarnya, suami buat tempahan bilik hotel sebagai kejutan untuk kami menyambut tahun baharu bersama. Jadi, saya rasa pihak hotel terbabit tidak tahu nama sebenar saya, jadi mereka letak ‘Miss Hanna’, itu sahaja.
“Saya faham kenapa ada netizen yang komen macam itu (spekulasi rumah tangga bergolak) tapi tak perlu untuk saya jelaskan satu persatu. Jadi kalau mereka (netizen) nak percaya apa yang mereka percaya, saya tak kisah,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika ditemui pada acara Bulan Bintang: The Next Chapter Fashion Show 2026, di sini, semalam.
Kata pelakon jelita yang popular dengan drama, Andai Itu Takdirnya, dia lebih selesa untuk tidak terlalu berkongsi sisi peribadi terutama berkaitan hal rumah tangga kepada pengikutnya di media sosial.
“Saya rasa pengikut sudah tahu yang saya tidak terlalu berkongsi mengenai hal peribadi melainkan pasal kerja.
“Tapi kadang-kadang saya akan kongsi juga perkara selain kerja. Pada masa sama, kami pun nak sambut Tahun Baharu (2026) bersama di hotel.
“Apapun, saya berasa tidak perlu untuk menjelaskan perkara itu kepada pengikut kerana ini adalah akaun Instagram (IG) saya dan benda yang saya muat naik pun ‘simple’ dan tidak adalah nak menunjuk pun,” katanya.
Terdahulu, hantaran Hannah mengenai tempahan bilik di sebuah hotel dengan tulisan ‘Miss Hanna’ di IG menimbulkan spekulasi di kalangan pengikut sehingga ada netizen mendakwa rumah tangganya sedang bergolak.
Untuk rekod, Hannah dan Imam yang juga pelakon dari Singapura mendirikan rumah tangga sekitar Februari 2021. – HMetro Online –
IMedikel TV






