Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Usaha memperkasa graduan berdaya saing dan berjiwa usahawan terus diperkukuh dengan pendedahan langsung kepada realiti industri.
Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Khairul Anuar Mat Amin, berkata pihak UMT menganjurkan Sesi Lawatan Akademik Pelajar Keusahawanan Kimia ke IMedikel Pharma Holding Berhad (IMPHB) bagi memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai aplikasi ilmu kimia dalam industri sebenar serta proses pengkomersialan produk.

“Lawatan ini bertujuan mendedahkan pelajar kepada elemen dan amalan perniagaan berasaskan kimia, termasuk pemahaman berkaitan konsep Original Equipment Manufacturer (OEM), proses penyediaan produk serta keperluan membangunkan cadangan perniagaan.
“Dalam subjek Keusahawanan Kimia, pelajar dikehendaki menyediakan cadangan pitching deck bagi produk berasaskan kimia yang berpotensi dipasarkan kepada masyarakat dalam negara, sama ada membabitkan produk kosmetik atau produk lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui kru IMedikel TV, di Wisma IMPHB, di sini, hari ini.
Katanya program tersebut membabitkan pelajar tahun akhir kursus Sains Kimia yang mengikuti subjek Keusahawanan Kimia di bawah fakulti berkenaan.
Beliau berkata, lawatan ke kilang OEM adalah pengalaman pertama seumpamanya bagi subjek berkenaan dan memberi gambaran jelas kepada pelajar tentang perbezaan antara pembelajaran teori di universiti dengan aplikasi sebenar di industri.
“Pendedahan kepada persekitaran ‘real world’ ini mampu membuka minda pelajar, lebih-lebih lagi mereka bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi,” katanya.
Tambahnya, pihak fakulti merancang untuk menjadikan lawatan industri seumpama itu sebagai program berterusan pada setiap semester akan datang bagi subjek Keusahawanan Kimia.
Sementara itu, Pengurus Peranti Perubatan IMPHB, Muhammad Arsyad Rohim, berkata pihaknya menyambut baik kunjungan pelajar UMT sebagai sebahagian daripada komitmen industri dalam menyokong pembangunan bakat muda.
Menurut beliau, pendedahan tersebut bertujuan menunjukkan bagaimana konsep kimia diaplikasikan daripada peringkat idea sehingga menjadi produk yang boleh dikomersialkan.

“IMPHB berperanan sebagai saluran untuk membantu pelajar memahami bagaimana teori yang dipelajari boleh diaplikasikan dalam industri sebenar, khususnya apabila mereka menceburi bidang keusahawanan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa IMPHB menyasarkan kerjasama strategik dengan universiti awam dan swasta tempatan dalam aspek jaringan industri, penyelidikan serta pembangunan produk, dengan syarikat itu berperanan sebagai rakan pengilang industri.
Mengulas mesej kepada pelajar, beliau menekankan kepentingan minat dan keazaman dalam bidang perniagaan agar produk yang dihasilkan berkualiti serta mampu berkembang secara mampan pada masa hadapan.

IMedikel TV






