KUALA LUMPUR: Pengacara dan penyanyi, Hunny Madu, mengakui tekanan emosi berpanjangan pernah membayangi kehidupannya apabila anak keduanya, Adam Musa, berdepan komplikasi jantung sejak bayi dan terpaksa menjalani dua prosedur pembedahan.
Memetik laporan Berita Harian, Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 41, berkata tempoh menanti kepastian mengenai tahap kesihatan anaknya selama beberapa tahun menjadi ujian paling berat dalam hidupnya sebagai seorang ibu.
“Adam lahir pada 2017 dan pembedahan pertama dijalani pada 2018. Sepanjang tempoh itu, saya memang banyak memberikan tumpuan kepadanya.
“Doktor memaklumkan beberapa tahun kemudian dia perlu melalui satu lagi pembedahan besar. Sebagai ibu, banyak kali saya terfikir, bolehkah dia lalui semua ini dan adakah pembedahan itu akan berjaya kerana melibatkan jantung.
“Saya melalui fasa di mana setiap hari berdoa kepada Allah supaya diberi kekuatan. Allah sudah mengamanahkan saya dengan anak ini, jadi saya perlu kuat untuk dia walaupun dalam hati memang terasa sangat hancur,” katanya kepada BH Online.
Bagaimanapun, Hunny berkata kelegaan mula dirasai apabila pembedahan kedua Adam berjaya dan pakar mengesahkan keadaan jantung anaknya kini semakin stabil tanpa memerlukan rawatan susulan besar sehingga dewasa.
“Kini dia tidak perlu lagi menjalani pembedahan sehingga dewasa. Doktor juga memaklumkan jantungnya sudah pulih selepas pembedahan kedua.
“Saya lihat dia semakin aktif seperti kanak-kanak lain, berlari, melompat, selera makan bertambah dan lebih banyak bercakap. Itu menunjukkan jantungnya berfungsi dengan baik.
“Alhamdulillah, prestasi pendidikannya juga sangat baik. Dia mendapat tempat kedua dalam kelas. Keadaannya kini stabil dan hubungan dengan rakan-rakan juga baik. Cuma, memandangkan dia anak autistik, masih ada perkara yang perlu diperbaiki dari segi pergaulan,” katanya.
Dalam tempoh mencabar itu, ibu kepada tiga anak ini turut mengakui memilih untuk menumpukan kerjaya sebagai pengacara berbanding muzik demi memastikan tanggungjawab sebagai ibu dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Dalam tempoh itu, saya terlalu fokus kepada Adam sehingga muzik seakan terpinggir. Bukan kerana saya merajuk dengan industri.
“Saya rasa bersalah jika terlalu menumpukan idea untuk menghasilkan lagu, jadi saya memilih kerja pengacaraan yang tidak memerlukan komitmen emosi mendalam,” katanya.
Kini, selepas lebih tujuh tahun, Hunny kembali aktif dalam bidang muzik menerusi single terbaharunya berjudul Satu Bumi yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya. – BH Online –
IMedikel TV






