PHNOM PENH: Usahawan kelahiran China, Chen Zhi, yang didakwa di Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan penipuan dalam talian dan pengubahan wang haram ditahan serta diekstradisi ke China.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, dia didakwa mengendalikan rangkaian penipuan siber bernilai berbilion dolar dari Kemboja terutama sindiket penipuan dalam talian dan pemerdagangan manusia.
Menurut pendakwa raya AS, Zhi didakwa mengarah operasi pusat buruh paksa di seluruh Kemboja, di mana pekerja yang diperdagangkan dikurung dalam fasiliti seperti penjara yang dikelilingi tembok tinggi dan kawat berduri.
Sejak pendakwaan dan sekatan oleh AS serta London pada Oktober lalu, pihak berkuasa di Eropah, AS dan Asia menumpukan tindakan terhadap syarikat Zhi, Prince Holding Group, dengan rampasan aset secara besar-besaran.
Jabatan Kehakiman AS berkata, Zhi menubuhkan Prince Group, sebuah konglomerat multinasional yang didakwa pihak berkuasa sebagai salah satu pertubuhan jenayah transnasional terbesar di Asia.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri Kemboja, dalam kenyataan berkata, pihak berkuasa Kemboja mendakwa tiga warganegara China iaitu Chen Zhi, Xu Ji Liang dan Shao Ji Hui, yang sudah ditangkap dan diekstradisi ke China.
“Operasi itu dilakukan dalam kerangka kerjasama memerangi jenayah transnasional dan atas permintaan pihak berkuasa China selepas beberapa bulan kerjasama siasatan bersama.
“Kewarganegaraan Zhi di Kemboja sudah dibatalkan melalui Titah Diraja pada Disember,” katanya.
Dalam pada itu, setakat semalam pihak berkuasa China tidak mengulas mengenai penahanan dan ekstradisi Zhi, manakala Jabatan Kehakiman AS turut enggan mengulas.
Oktober lalu, pihak berkuasa AS mendedahkan pendakwaan terhadap Zhi iaitu seorang ahli perniagaan yang didakwa mengendalikan pusat penipuan dalam talian di Kemboja, di mana pekerja yang diperdagangkan menjalankan skim penipuan mata wang kripto yang meraih keuntungan berbilion dolar.
Zhi berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun jika sabit kesalahan di AS atas tuduhan penipuan elektronik dan pengubahan wang haram yang membabitkan kira-kira 127,271 bitcoin yang dirampas oleh Washington, bernilai lebih AS$11 bilion (kira-kira RM44 bilion) pada harga semasa.
Bagaimanapun, Prince Group menafikan semua tuduhan itu.
Menurut pendakwaan AS, pekerja penipuan dipaksa (di bawah ugutan keganasan) melaksanakan skim penipuan ‘pig butchering’, iaitu skim pelaburan kripto yang membina kepercayaan mangsa sebelum menipu dana mereka.
Skim terbabit menyasarkan mangsa di seluruh dunia, menyebabkan kerugian berbilion dolar.
Pusat penipuan di Kemboja, Myanmar dan rantau berkenaan menggunakan iklan pekerjaan palsu untuk menarik warganegara asing, ramai di antaranya warga China, ke pusat khas di mana mereka dipaksa melakukan penipuan dalam talian.
Menurut pendakwa raya AS, Prince Group beroperasi di lebih 30 negara dengan menyamar sebagai perniagaan hartanah, perkhidmatan kewangan dan pengguna sejak 2015.
Zhi dan eksekutif kanan didakwa menggunakan pengaruh politik dan menyogok pegawai di beberapa negara untuk melindungi operasi haram mereka.
Di Kemboja, Zhi pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri Hun Manet dan bapanya, bekas pemimpin, Hun Sen.
Menurut pakar, negara Asia Tenggara itu menempatkan puluhan pusat penipuan dengan puluhan ribu orang menjalankan penipuan dalam talian.
Ada yang melakukannya secara sukarela serta ada yang diperdagangkan dalam industri bernilai berbilion dolar. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






