KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian, pelakon dan pelawak, Shahrol Shiro meluahkan kebimbangan terhadap keadaan program komedi di televisyen yang dilihat semakin berkurangan, susulan rungutan yang didengarinya daripada rakan seindustri.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Shahrol atau nama penuhnya Shahrol Azizie Azmi, 41, berkata situasi itu menyebabkan sebahagian penggiat komedi memilih untuk meninggalkan dunia hiburan dan beralih ke bidang lain demi kelangsungan hidup.
Bagaimanapun, Shahrol percaya industri komedi tempatan masih mempunyai potensi untuk bangkit semula sekiranya pendekatan dan kandungan diperkemas serta disesuaikan dengan cita rasa penonton masa kini.
“Kata sahabat saya, industri komedi Malaysia hari ini tenat. Program komedi di televisyen (TV) pula hanya muncul setahun sekali.
“Ada yang sudah balik kampung dan ada juga yang ‘tarik brek tangan’.
“Bagi saya, industri komedi kita masih boleh diselamatkan. Sajian komedi perlu diubah dan diselarikan dengan selera penonton hari ini,” kongsinya.
Dalam perkongsian sama, Shahrol turut memberi bayangan sedang merangka beberapa perancangan bagi mengembalikan kesuburan industri komedi tempatan.
Beliau juga meluahkan rasa kasih dan penghargaan mendalam terhadap seni komedi yang disifatkan sebagai titik permulaan perubahan hidupnya ke arah lebih baik.
“Saya sedang cuba merangka beberapa cadangan supaya industri komedi kita kembali subur.
“Secara peribadi, saya sangat menyayangi seni komedi kerana bidang inilah yang banyak mengubah perjalanan hidup saya,” ujarnya.
Sebelum ini, pelawak Fad Bocey turut meluahkan rasa reda menerima hakikat perjalanan seni golongan pelawak yang kini dilihat semakin suram berbanding dahulu.
Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 34, berkata sama ada mahu atau tidak, semua penggiat seni termasuk pelawak, penyanyi dan pelakon akan melalui fasa naik dan turun ibarat putaran roda kehidupan. – BH Online –
IMedikel TV






