KUALA LUMPUR: “Saya manusia biasa yang tak lari dari melakukan kesilapan. Saya tidak baik, saya pendosa dan banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki,” kata pelakon, Aprena Manrose.
Memetik laporan Harian Metro, Aprena, 32, berkata demikian ketika mengulas penampilan dirinya tidak bertudung ketika penggambaran drama Nur Untuk Ariff sekali gus mencuri perhatian netizen di media sosial.
Menurut Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata, dia banyak melakukan dosa dan perlu memperbaiki dirinya.
“Saya tidak akan berhenti menuntut ilmu dan sebarkan hal-hal berkaitan agama walaupun saya tidak mampu menutup aurat dengan sempurna.
“Nak tunggu sempurna baru nak buat kebaikan memang sampai matilah saya hanyut.
“Saya percaya semua orang ada ‘struggle’ masing-masing dan cara tersendiri untuk kendalikan masalah,” katanya menerusi hantaran di Instagram Story (IG) miliknya.
Mengulas lanjut, kata Aprena, dia tidak akan membela dirinya kerana menutup aurat adalah perkara yang wajib.
“Saya pernah cakap, yang baik sila ikut yang tak baik jangan sesekali ikut. Dosa dan pahala adalah perkara yang sangat sensitif. Hanya Allah SWT sahaja yang boleh menghukum.
“Bila Nazim Othman bagi kenyataan (bagi pihak Aprena) korang (anda) kecam dia pula. Janganlah begitu kerana dia tak bersalah dalam hal ini kerana sayalah puncanya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Aprena, dia sudah memaafkan semua orang yang mengkritiknya.
“Saya maafkan anda semua. Sebab saya tahu korang (anda) hanya bercakap apa yang korang (anda) nampak jadi saya tak salahkan anda semua
“Pada komen bahasa yang terlalu kesat itu, siasat diri sendiri dulu okay. Pastikan korang (anda) tak tinggal solat lima waktu.
“Tak nak mendoakan takpa (tidak apa), jaga saja keluarga masing-masing. Saya pun sama hanya perlu jaga keluarga saya dan orang yang sayang saya,” katanya.
Terdahulu, video di sebalik tabir babak drama Nur Untuk Ariff tersebar yang memperlihatkan Aprena tidak bertudung ketika berganding dengan pelakon Nazim Othman mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen. – HMetro Online –
IMedikel TV






