Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lima wanita daripada dua keluarga masing-masing didenda RM1,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan bergaduh di Pasar Melor, minggu lalu.

Tertuduh, Rozita Ramli, 47, bersama anaknya Aleeya Maisara Hasbullah, 19, serta menantunya Siti Nor Bakyah Abdullah, 19, dan Siti Sara Suaini, 30, bersama adiknya Siti Mastura Suaini, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan gaduh gempar di hadapan Pasar Melor, pada jam 2.30 petang, 25 Disember lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala semua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Atikah Abd Halim.
Dalam prosiding itu, Muhammad Nadzir memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal dan memberi pengajaran kepada semua tertuduh.
“Kejadian ini berpunca daripada perselisihan faham di aplikasi TikTok yang menjadi “trend” membimbangkan apabila pertikaian di media sosial dibawa ke alam realiti sehingga mencetuskan keganasan fizikal dan gangguan ketenteraman awam.
“Kalau benar tertuduh mempunyai keberanian untuk bertempur, mereka sepatutnya mendaftar dalam sukan yang diiktiraf seperti “Fury Championship” kerana ia boleh menguji kekuatan mengikut peraturan, dipantau pengadil, dan dihormati masyarakat, bukannya dengan cara melakukan ‘gaduh gempar’ yang hanya merendahkan martabat diri dan keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Siti Atiqah memohon hukuman denda paling minimum terhadap semua tertuduh untuk dijadikan sebagai pengajaran.
Rais Imran sebelum menetapkan hukuman denda turut menasihatkan semua tertuduh agar menyelesaikan sebarang salah faham secara aman dan tenteram.
“Negeri Kelantan ini terkenal dengan budi bahasa tinggi, jadi tidak elok kalau perkara seperti ini sohor (terkenal) di negeri ini, tak mahu tunjuk depan masyarakat, tidak elok,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM1,000 bagi setiap tertuduh dan sekiranya gagal membayar denda mereka akan dipenjara selama tiga bulan.
Bagaimanapun kesemua tertuduh membayar denda berkenaan.
IMedikel TV






