SYDNEY: Dua lelaki bersenjata yang didakwa melepaskan tembakan ke arah sambutan Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney awal bulan ini bertindak sendirian dan tiada sebarang bukti mereka sebahagian kumpulan pengganas, kata polis pada Selasa.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, Naveed Akram dan bapanya, Sajid Akram, didakwa membunuh 15 orang dalam acara Hanukkah pada 14 Disember lalu — kejadian tembakan beramai-ramai paling buruk di Australia dalam hampir tiga dekad yang mengejutkan negara itu dan mencetuskan pembaharuan segera terhadap undang-undang senjata api yang sedia ketat.
Polis sebelum ini berkata kedua-dua lelaki itu mendapat inspirasi daripada kumpulan Islamic State, dengan bendera buatan sendiri kumpulan militan berkenaan ditemui dalam kereta mereka selepas serangan.
Siasatan juga menumpukan kepada perjalanan sebulan mereka ke sebuah pulau di Filipina yang sebelum ini terjejas akibat aktiviti militan.
Bagaimanapun pada Selasa, Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Krissy Barrett, berkata tiada petunjuk bahawa kedua-dua lelaki itu menerima latihan formal semasa perjalanan mereka ke Mindanao, Filipina pada November lalu.
“Tiada bukti yang menunjukkan suspek ini merupakan sebahagian daripada sel pengganas yang lebih besar, atau diarahkan oleh pihak lain untuk melancarkan serangan,” kata Barrett dalam satu sidang media.
Beliau menambah penemuan itu merupakan penilaian awal, dan pihak berkuasa di Australia serta Filipina masih meneruskan siasatan.
“Saya tidak mengatakan mereka berada di sana untuk tujuan pelancongan,” katanya merujuk kepada perjalanan ke Filipina itu.
Sajid Akram ditembak mati oleh polis semasa serangan berkenaan, manakala anaknya, Naveed, yang turut ditembak polis, didakwa dengan 59 pertuduhan selepas sedar daripada koma selama beberapa hari awal bulan ini.
Naveed Akram berdepan pertuduhan termasuk 15 pertuduhan membunuh serta kesalahan berkaitan keganasan dan bahan letupan. – REUTERS, Hmetro Online –
IMedikel TV






