Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 1.14 juta batang rokok seludup bernilai hampir RM1 juta dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah kampung yang dijadikan tempat penyimpanan rokok tersebut di Kampung Pasir Panji, Tanah Merah, pada 7 Disember lalu.
Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, serbuan itu dilakukan hasil pemeriksaan mengejut oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang kira-kira jam 2.10 petang.

“Serbuan dilakukan ke atas sebuah rumah tidak bernombor yang dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok seludup sebelum diedarkan ke pasaran tempatan Kelantan dan Lembah Klang.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan rokok seludup dengan nilai dianggarkan berjumlah RM178,500, manakala jumlah duti dan cukai terlibat dianggarkan sebanyak RM771,570.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk duti dan cukai adalah RM950,070,” katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasa JKDM, di sini, hari ini.
Jelasnya rokok tersebut adalah jenama baharu di pasaran gelap dan didapati menggunakan setem cukai palsu.
Jelasnya rokok tersebut dipercayai dibawa masuk melalui Sungai Golok.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000, mengikut mana yang lebih tinggi, dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
“Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama,” katanya.
Dalam pada itu, JKDM menyeru orang ramai agar terus memberi kerjasama dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.
“Aktiviti penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM juga meneyru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menyalurkannya melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat, dengan jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,”katanya.
IMedikel TV






