Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Polis menahan seramai 12 individu terdiri daripada lima lelaki dan tujuh perempuan tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes rusuhan yang berlaku di Pasar Awam Melor, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita berusia 19 tahun yang mendakwa dirinya dikasari oleh seorang wanita lain dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang.
“Insiden berkenaan turut melibatkan ahli keluarga pengadu dan suspek, sebelum pergaduhan tersebut berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, pengadu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan telah mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Jelasnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh secara beramai-ramai di tempat awam.
“Kesemua individu yang ditahan berusia dalam lingkungan awal 20-an hingga lewat 50-an dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.
IMedikel TV






