KUALA LUMPUR: Penyanyi adik-beradik, Ziana dan Anuar Zain kehilangan ibu tercinta, Allahyarham Robiah Abdul, 74, yang meninggal dunia jam 10.40 malam tadi akibat kanser hati.
Memetik laporan harian Metro, empat bulan lalu, bapa kesayangan mereka iaitu Allahyarham Zain @ Zin Abdullah, 87 menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada jam 3.32 petang.
Berita sedih itu dikongsikan Ziana dan Anuar menerusi hantaran dimuatnaik di Instagram (IG) masing-masing memohon doa agar roh ibu mereka dicucuri rahmat.
Ziana ketika dihubungi media malam tadi memaklumkan, ibunya meninggal dunia di Hospital Klang, Selangor dan jenazah dikebumikan pada pagi, hari ini.
“Emak menghidap kanser hati dan sudah merebak ke usus dan buah pinggang. Senang cerita, sudah merebak ke seluruh organ dalaman.
“Jenazah akan dikebumikan pagi ini kira-kira jam 10 pagi di masjid,” katanya.
Difahamkan jenazah Allahyarham Robiah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina berdekatan dengan arwah suaminya.
Sementara itu, pada ruangan komen di IG, ramai rakan artis dan netizen mengucapkan takziah kepada Ziana dan Anuar di atas pemergian ibu mereka serta mendoakan agar seisi keluarga tabah menghadapi ujian besar itu. – HMetro Online –
IMedikel TV






