Home Buletin Semasa DVS TAMPIL JELASKAN ISU KES ANIAYA HAIWAN SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

DVS TAMPIL JELASKAN ISU KES ANIAYA HAIWAN SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tampil memberikan penjelasan serta maklum balas berhubung beberapa perkara yang didapati tidak tepat dalam laporan yang disiarkan portal Buletin TV3 bertajuk, “Kes aniaya haiwan: Semakin membimbangkan, penguatkuasaan perlu lebih tegas” pada Ahad lalu. 

Menurut kenyataan DVS menerima sebanyak 19,303 aduan berkaitan kebajikan haiwan bagi tempoh lima tahun, mencerminkan tahap kesedaran dan pengetahuan yang tinggi dalam kalangan masyarakat terhadap saluran aduan yang disediakan.

Menurut DVS, daripada jumlah tersebut, 16,340 aduan adalah di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772], manakala 2,963 aduan lagi melibatkan kes di luar skop akta berkenaan. 

“Sehingga kini, 16,394 aduan berjaya diselesaikan. Berdasarkan aduan yang berasas sepanjang tempoh sama, sebanyak 43 kes berjaya disabitkan kesalahan dan didakwa di mahkamah, dengan jumlah denda keseluruhan mencecah RM445,400,”menurut kenyataan itu semalam.

DVS memaklumkan bahawa Seksyen Kebajikan Haiwan jabatan itu menerima aduan secara rasmi melalui Sistem MyAnimalWelfare yang boleh diakses secara dalam talian di awa.dvs.gov.my.

“Semua aduan yang diterima akan terus disalurkan kepada pegawai di lapangan di negeri-negeri bagi tujuan pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Dalam usaha meningkatkan kesedaran awam, DVS turut menyalurkan maklumat berkaitan aduan kebajikan haiwan melalui pelbagai platform termasuk portal MyAnimalWelfare, media sosial Lembaga Kebajikan Haiwan, semua saluran media sosial rasmi DVS, portal rasmi jabatan serta reruai kebajikan haiwan di pameran-pameran anjuran pelbagai pihak di seluruh negara.

“Selain itu, kenyataan media turut dikeluarkan dari semasa ke semasa bagi memberi pendedahan kepada orang ramai,”jelas kenyataan itu.

Menurut DVS, Arahan Prosedur Tetap Kebajikan Haiwan (Aduan) sudah dibangunkan sebagai rujukan standard bagi memastikan pengendalian aduan serta tindakan penguatkuasaan di bawah Akta 772 dapat dilaksanakan secara lebih efisien dan berkesan.

Sistem MyAnimalWelfare juga memainkan peranan penting dalam pengurusan aduan kebajikan haiwan secara menyeluruh.

“Semua pengadu akan menerima maklum balas mengenai status aduan melalui e-mel yang didaftarkan dalam Sistem MyAnimalWelfare.

“Bagi kes yang memerlukan tindakan pendakwaan, laporan aduan akan dipanjangkan kepada Bahagian Penguat Kuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut,”menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, DVS memaklumkan bahawa kolaborasi strategik antara jabatan berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan penguatkuasaan kebajikan haiwan dijalankan secara menyeluruh dan bersepadu.

Sehubungan itu, DVS menyarankan orang ramai agar membuat sebarang rujukan atau semakan terus kepada jabatan tersebut bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan aduan kebajikan haiwan, selain mengelakkan kekeliruan serta salah faham.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi dan memberi ruang sepenuhnya kepada proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here