Home Hiburan SITI NURHALIZA SEBAK, LUANGKAN MASA ZIARAH PEMINAT SAKIT

SITI NURHALIZA SEBAK, LUANGKAN MASA ZIARAH PEMINAT SAKIT

KUALA LUMPUR: Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 47, meluangkan masa menziarah seorang peminat setianya dikenali Fadzil Sitizoner yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital.

Memetik laporan Harian Metro, berita sedih yang menimpa Fadzil itu dikongsikan pemilik akaun, Rara Nurhaliza di TikTok miliknya yang memaparkan foto Siti bersama pengurus peribadi, Rozi Abdul Razak menziarah lelaki itu.

Menerusi kapsyen ditulis, Rara memohon kepada sesiapa sahaja yang mengenali Fadzil agar bersama-sama mendoakan kesembuhan kesihatannya kerana masih dalam pemantauan doktor.

“Mohon semua doakan Fadzil Sitizoner. Buat masa sekarang, Fadzil berada di ICU dan memerlukan pemantauan rapi oleh pihak hospital.

“Kita Sitizoner sebagai keluarga sangat mengharapkan doa daripada semua agar Fadzil diberikan kekuatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan rawatan.

“Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Sayang Sitizoners semua,” tulisnya.

Bagaimanapun, tidak dimaklumkan juga secara lanjut Fadzil dirawat di ICU itu kerana sakit dihidapinya.

Namun difahamkan Fadzil adalah salah seorang tulang belakang kelab peminat Sitizoners yang peramah, mesra dan rajin membantu dalam penganjuran majlis amal diadakan kelab berkenaan.

Kehadiran Siti yang menziarah Fadzil di hospital disifatkan ahli kelab peminatnya sebagai tanda prihatin daripada penyanyi kesayangan mereka yang menghargai sokongan peminat terhadap kariernya.

Hubungan erat Siti bersama kelab peminatnya secara tidak langsung jelas menunjukkan betapa kerjaya seni penyanyi tersohor ini mampu bertahan dan relevan hingga sekarang kerana keupayaan menyantuni peminat dengan baik. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here