Home Buletin Semasa BAPA MAUT, DUA ANAK CEDERA TERBABAS LANGGAR TIANG ELEKTRIK DI MACHANG

BAPA MAUT, DUA ANAK CEDERA TERBABAS LANGGAR TIANG ELEKTRIK DI MACHANG

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

MACHANG: Perjalanan pulang tiga beranak bertukar tragedi apabila seorang bapa maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 31, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Samad Pulai Chondong, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu ketiga-ketiga mereka dilaporkan dalam perjalanan ke rumah di Kuala Krai dari Hospital Raja Perempuan Zainab II  (HRPZ II) selepas selesai urusan temujanji perubatan bapanya.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian iu membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu oleh salah seorang anak mangsa bersama abangnya dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi sebelum terbabas sendiri  dan melanggar tiang elektrik di bahu kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu pemandu dan abangnya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut, manakala penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,”katanya dalam kenyataan itu semalam.

Jelasnya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dan boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim di talian 011-1945020 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di talian 09-9751222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here