LOS ANGELES: Danielle Collins yang mara ke final Terbuka Australia pada 2022 berkata, beliau akan terlepas kejohanan Grand Slam di Melbourne, bulan depan susulan kecederaan belakang yang menamatkan musim 2025 lebih awal.
Danielle tidak beraksi sejak tewas kepada pemain Romania, Jaqueline Cristian pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Ogos lalu.
Pada bulan sama, dia mendedahkan mengalami masalah cakera tergelincir di bahagian belakang selepas kekalahan kepada Taylor Townsend pada pusingan pertama Terbuka Cincinnati.
Dalam hantaran di Instagram, Danielle turut memaklumkan sedang menjalani rawatan kesuburan.
“Saya mengambil masa beberapa bulan kebelakangan ini untuk pulih daripada kecederaan belakang yang saya alami di penghujung musim,” tulis Danielle.
“Saya sedang menjalani beberapa prosedur pembekuan telur. Ia antara perkara paling hebat yang pernah saya lakukan! Namun pada masa sama, hormon yang perlu saya ambil ini benar-benar mencabar.”
Danielle mencipta kenangan manis di Terbuka Australia 2022 apabila mara ke final sebelum tewas kepada kegemaran tuan rumah, Ash Barty, dalam perlawanan yang kemudian menjadi aksi terakhir Barty sebelum bersara.
Danielle menewaskan pemain Poland, Iga Swiatek, straight set pada separuh akhir untuk mara ke perlawanan penentuan.
Dia mencapai ranking terbaik dalam karier iaitu nombor tujuh dunia pada Julai 2022 dan pernah mara ke separuh akhir Terbuka Australia 2019 sebelum tewas kepada pemain Republik Czech, Petra Kvitova.
Pemain berusia 32 tahun itu menikmati musim cemerlang pada 2024 dengan rekod 42 kemenangan dan 17 kekalahan dalam acara perseorangan, menjuarai Terbuka Miami dan Terbuka Charleston berturut-turut, menyertai pasukan Olimpik Amerika Syarikat serta kembali ke kelompok 10 terbaik dunia. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






